Selamat datang ke desaku.
Something you might want to know about us.
Don't be hesitated to contact us if you have something to say.

Salam Pengenalan

Assalamualaikum...

Salam pengenalan dan selamat bertemu. Baru di kesempatan ini saya dapat bersama-sama mengambil bahagian untuk dikongsi bersama. Saya ni orang kampung, jadi kisah dan cerita saya lebih tertumpu di kawasan kampung terutama di kawasan Kuala Krau, Pahang. Banyak yang boleh diceritakan terutama soal-soal pembangunan, peluang ekonomi, masalah-masalah, isu-isu semasa serta perancangan dan potensi kampung. Semua kampung ingin maju dan berjaya, penduduknya dapat meningkatkan pendapatan ekonomi, keadaannya aman dan sejahtera, persekitarannya bersih, ceria dan indah serta udaranya bersih dan nyaman. Inilah yang dinamakan sebagai Desa Impian ataupun Desa Wawasan.

| 0 comments | Friday, December 28, 2012
|

Bagi kepimpinan di kampung, peruntukan daripada Wakil Rakyat sentiasa ditagih bagi menyelesaikan beberapa masalah. Daripada peralatan dan kelengkapan pentadbiran hinggalah kepada keperluan yang lebih besar seperti membaiki kerosakan bangunan awam, surau, masjid dan juga jalan-jalan pertanian. Selain daripada itu, peruntukan juga diperlukan bagi melengkapkan keperluan terutama peralatan untuk kenduri-kendara dan sebagainya.

Tidak terkecuali juga, ngo-ngo seperti persatuan belia, kumpulan wanita dan sebagainya yang juga mengharapkan peruntukan Wakil Rakyat bagi mendapatkan bantuan serta keperluan masing-masing. Walaupun peruntukan yang diberikan agak kecil tetapi adakalanya sudah memadai sebagai tanda Wakil Rakyat memberi perhatian kepada mereka.

Kesukaran mendapatkan peruntukan kerapkali menjadi rungutan terutama di kalangan ngo-ngo. Mereka merasa kecil hati kerana permohonan mereka tidak diberi perhatian sedangkan selama ini merekalah merupakan penyokong kuat pihak kerajaan. Keadaan ini boleh menyebabkan terhakisnya sokongan mereka terutama menjelang PRU nanti.

Bagi menghadapi keadaan ini, peruntukan kepada Wakil Rakyat perlu ditambah terutama di penghujung tahun ini. Perhatian perlu diberikan kepada semua pihak terhadap apa jua permohonan yang diajukan bahkan bagi golongan muda, peruntukan peralatan sukan boleh sahaja terus diberikan tanpa perlu memohon.

| 0 comments | Thursday, December 20, 2012
|

Masalah kelulusan permohonan tanah seringkali menjadi perbualan di kalangan penduduk kampung. Terdapat pemohon-pemohon yang telah memohon begitu lama hingga belasan tahun tetapi masih belum mendapat apa-apa keputusan. Bagi yang telah mengusahakan tanah tersebut, mungkin tiada masalah tetapi bagi yang tidak, dikhuatiri pula tanah yang dipohon akan diterokai oleh orang lain.

Bagi menyelesaikan masalah ini, Wakil Rakyat Kawasan perlu diberi kuasa penuh untuk membuat kelulusan sesuatu permohonan. Terdapat beberapa kes permohonan telah ditolak oleh Pejabat Tanah tetapi apabila dirujuk, Wakil Rakyat sendiripun tidak tahu menahu di dalam proses membuat keputusan tersebut. Kemungkinan, terdapat pihak-pihak lain yang juga berkuasa untuk membuat sesuatu kelulusan.

Akibat daripada keadaan ini, pemohon hanya menyalahkan Wakil Rakyat Kawasan kerana tidak memberikan kelulusan terhadap permohonan mereka. Mereka menjadi kecewa kerana selama ini mereka merupakan penyokong kuat pihak kerajaan tetapi tidak mendapat balasan apa-apa.

Pihak Kerajaan Negeri perlu mengkaji sepenuhnya perkara tersebut kerana isu ini merupakan isu besar yang sering diperkatakan terutama menjelang Pilihan Raya Umum. Sekiranya tidak ditangani segera, dikhuatiri sokongan terhadap pihak kerajaan akan terjejas.





| 0 comments | Wednesday, December 12, 2012
|

Sebagai sebuah pekan yang kecil, Kuala Krau telah membangun dengan agak pesat sejak akhir-akhir ini terutama sejak terdirinya Jambatan Kuala Krau. Banyak bangunan-bangunan baharu telah didirikan begitu juga dengan taman-taman perumahan yang diwujudkan bagi menampung keperluan penduduk yang semakin bertambah.

Walaubagaimanapun, masih terdapat beberapa kemudahan yang perlu dilaksanakan untuk kemudahan penduduk seperti mewujudkan Balai Bomba serta Dewan Orang Ramai yang lebih besar dan selesa. Begitu juga dengan pintu masuk dari Temerloh dan Jerantut perlu dibuat papan tanda yang lebih besar dan cantik bagi menggambarkan kemajuan pesat pekan tersebut.

Lampu isyarat di Simpang Paya Luas yang selama ini menjadi sebutan orang ramai akibat daripada beberapa kemalangan maut telah mula dilaksanakan kerja-kerja pemasangannya. Kemudahan ini nanti akan lebih menjamin keselamatan orang ramai untuk melalui kawasan tersebut. Cuma yang perlu dilaksanakan selepas ini ialah menaiktaraf jalan masuk di dalam pekan tersebut dengan mewujudkan jalan sehala bagi mengelakkan kesesakan.

Sejak hampir 10 tahun Parlimen Kuala Krau diwujudkan, usaha-usaha telah dilakukan bagi mewujudkan pula sebuah daerah yang baharu di sini. Sekiranya berjaya, wajah pekan Kuala Krau akan berubah menjadi sebuah bandar yang sibuk dan lebih pesat membangun.





| 0 comments | Friday, November 30, 2012
|

Penduduk di sekitar Pekan Kuala Krau terutama golongan muda yang berpendapatan rendah menghadapi masalah untuk memiliki rumah. Bukan sahaja tidak mempunyai tanah untuk mendirikan rumah, juga tidak layak dan mampu untuk membeli rumah-rumah yang dimajukan oleh pihak swasta yang jumlahnya mencecah ratusan ribu ringgit. Jadi, terpaksalah mereka menyewa rumah-rumah yang selayaknya ataupun menumpang sahaja di rumah ibubapa walaupun telah bekeluarga serta mempunyai anak.

Inilah yang menjadi kebuntuan kepada mereka sejak sekian lama dan hanya keprihatinan pihak kerajaan sahaja yang boleh membantu. Dengan mewujudkan kembali Projek Perumahan Awam Kos Rendah (PAKR), akan dapat membantu golongan ini sesuai dengan pendapatan mereka dan yang lebih penting, tidak membebankan mereka untuk membayar bayaran bulanannya.

Di dalam menyelesaikan masalah penduduk yang kurang berkemampuan untuk memiliki rumah ini, pihak Kerajaan Negeri perlu memberikan perhatian sepenuhnya. Program yang banyak membantu rakyat sebelum ini perlu diteruskan bagi memberi peluang pula kepada generasi pada masa kini.

| 0 comments | Friday, November 16, 2012
|

Pada masa ini, bermacam-macam bantuan telah disediakan kepada rakyat. Daripada BR1M, bantuan sara hidup, bantuan membaiki rumah hinggalah kepada bantuan yang lebih kecil seperti bantuan cermin mata dan beg sekolah telah disediakan oleh kerajaan bagi meringankan bebanan keluarga miskin.

Kemungkinan segala bantuan ini dapat menyelesaikan masalah tetapi bagi sebahagian rakyat pula hanya menjadikan mereka malas berusaha serta tidak perlu berdikari kerana sering menganggap bantuan akan sentiasa disediakan kepada mereka.

Keadaan akan menjadi lebih teruk lagi apabila ramai orang telah mengaku miskin dan hidup melarat dan mereka sering mendesak untuk diberikan bantuan dan akan menjadi kecewa serta menyalahkan Wakil Rakyat setempat kerana tidak membantu mereka.

Oleh itu, kajian perlu dilakukan bagi mengelakkan agar rakyat tidak dikenali sebagai rakyat bantuan sebagaimana subsidi kepada rakyat pada masa dahulu.

| 0 comments |
|

Masalah sering terputus bekalan air paip sejak akhir-akhir ini begitu menyulitkan orang ramai. Dengan pertambahan premis-premis perniagaan serta rumah-rumah baharu telah meningkatkan lagi penggunaan air dan keadaan menjadi lebih teruk apabila musim perayaan serta musim cuti sekolah.

Beberapa faktor telah dikenalpasti menyebabkan masalah ini berlaku antaranya disebabkan oleh paip-paip besar yang telah uzur dan tidak dapat lagi menampung tekanan air yang kuat, begitu juga masalah pam di loji-loji serta tangki-tangki simpanan air yang tidak mengcukupi.

Sejak diwujudkan PAIP bagi menggantikan JBA, tidak nampak lagi perkhidmatan yang berkesan bagi menangani masalah tersebut malah orang ramai menyalahkan kerajaan negeri kerana membuat keputusan yaang tidak membawa manfaat serta menyusahkan rakyat.

Bagi mengatasi masalah tersebut, peruntukan yang besar perlu disediakan terutama bagi menggantikan paip-paip yang lama serta menaiktaraf semua loji-loji air. Pihak PAIP juga perlu bertindak dengan lebih pantas dan berkesan untuk membaiki keadaan termasuk di waktu cuti dan juga di musim perayaan.

| 0 comments | Thursday, October 11, 2012
|

Sepanjang beberapa tahun ini, Pekan Kuala Krau telah menjadi sebuah pekan yang agak sibuk. Sejak terbinanya Jambatan Kuala Krau, begitu ketara sekali kesibukannya terutama waktu pekan sehari ataupun pasar malam yang menerima lebih ramai pengunjung berbanding sebelum ini. Bangunan-bangunan baharu sudah mula bertambah dan banyak memberi peluang kepada anak-anak tempatan untuk menceburkan diri di dalam bidang perniagaan.

Dengan kesibukan tersebut, pihak berkuasa tempatan perlu memikirkan sesuatu bagi mengatasi masalah lalu lintas yang berlaku termasuk membesarkan laluan di dalam kawasan pekan itu sendiri dan cara terbaik ialah mewujudkan jalan-jalan sehala bagi memberi keselesaan kepada kenderaan untuk keluar dan masuk.

Berita gembira kepada pengguna jalan raya apabila permohonan untuk mendirikan lampu isyarat di Simpang Paya Luas telah diluluskan oleh pihak kerajaan dan menunggu masa sahaja untuk dilaksanakan. Simpang tersebut terkenal sebagai kawasan yang agak merbahaya di mana telah kerapkali berlaku kemalangan sehingga ada yang telah terkorban.

Namun begitu, Pekan Kuala Krau perlu diperlengkapkan lagi dengan beberapa kemudahan termasuk bank-bank komersil serta diperindahkan untuk menjadikannya sebuah pekan yang ceria dan menarik. Pihak Wakil Rakyat bersama-sama Pihak Berkuasa Tempatan perlu memikirkan perubahan-perubahan yang perlu dilaksanakan sesuai dengan peredaran masa serta kemajuan negara pada masa ini.

| 0 comments | Thursday, October 4, 2012
|

Penduduk kampung menghadapi masalah besar apabila binatang ternakan seperti lembu dan kerbau dilepaskan berkeliaran di kawasan kampung. Keadaan ini menjadi ancaman kepada keselamatan jalanraya terutama di waktu malam di samping najis-najis yang bertaburan di atas jalan yang mencacatkan keceriaan sesebuah kampung. Kes-kes yang melibatkan binatang ternakan menceroboh ke kawasan tanah-tanah pertanian hingga merosakkan tanam-tanaman juga menjadi ancaman kepada pekebun-pekebun kecil.

Masalah ini tidak boleh dibiarkan berterusan kerana dengan pertambahan penduduk serta kawasan-kawasan pertanian yang sememangnya menjadi sumber ekonomi kepada penduduk kampung. Penternak hanya mengaut keuntungan tetapi banyak mendatangkan masalah kepada orang ramai.

Kaedah ternakan seperti ini tidak sesuai lagi pada zaman ini dan undang-undang perlu diadakan bagi membolehkan mereka yang tidak bertanggungjawab ini didakwa. Pihak yang berkenaan perlu mengkaji perkara ini bagi menguatkuasakan kaedah ternakan yang terkawal dengan tidak lagi mendatangkan masalah kepada orang ramai.

| 0 comments | Thursday, September 20, 2012
|

Sebagai sukan yang menjadi kegilaan golongan muda pada masa ini, gelanggang futsal perlu dibina di setiap kawasan dan kampung. Walaupun terdapat beberapa buah gelanggang yang dibina terutama di kawasan pekan, Felda serta beberapa buah kampung tetapi pembinaannya masih belum menyeluruh di setiap kampung.

Bagi golongan muda di kampung-kampung, mereka tidak akan sesekali menumpang bermain di gelanggang futsal di kampung lain dan oleh itu mengharapkan pihak kerajaan untuk membina gelanggang tersebut di kampung mereka juga.

Golongan ini perlu diberi perhatian agar mereka tidak terus kecewa apabila mereka merasakan kampung mereka dipinggirkan sedangkan selama ini mereka merupakan penyokong kuat pihak kerajaan.

Oleh itu, pihak kerajaan perlu menyediakan peruntukan secukupnya bagi membina gelanggang tersebut di setiap kampung dan tidak timbul sikap pilih kasih untuk membinanya di kampung-kampung tertentu sahaja.

| 0 comments | Sunday, September 9, 2012
|

Pada 7 September 2012 lalu, tidak terlewat bagi seramai 250 orang yang mewakili NGO-NGO di dalam kawasan Dun Jenderak menyuarakan bantahan terhadap mereka yang telah mencemarkan malam sambutan kemerdekaan dengan memijak gambar PM serta mempamerkan bendera negara yang baharu sekiranya Pakatan Rakyat berjaya memerintah nanti.

Mereka telah berkumpul di sekitar Pekan Kuala Krau seawal jam 9.00 pagi dan seterusnya berarak sambil membawa jalur gemilang serta sepanduk-sepanduk yang mengecam perbuatan kurang ajar tersebut menuju ke Balai Polis Kuala Krau untuk membuat aduan.

Perbuatan biadap ini tidak boleh dibiarkan berterusan kerana kelak akan membawa budaya yang boleh menimbulkan ketegangan dan mereka yang terlibat tidak boleh dibiarkan terlepas begitu sahaja, perlu dikenakan hukuman yang setimpal agar menjadi pengajaran pada masa hadapan.





| 0 comments | Friday, August 3, 2012
|

Penerokaan tanah secara haram nampaknya semakin menjadi-jadi pada masa ini. Ini mungkin disebabkan oleh kesedaran bahawa kawasan tanah telah semakin mengecil dan sekiranya tidak diterokai, peluang untuk memiliki tanah selepas ini akan tertutup kerana semuanya telah menjadi milik orang lain samada secara sah ataupun tidak. Golongan ini pula tidak takut dengan tindakan pihak berkuasa kerana mendakwa selama ini tiada sebarang tindakan dikenakan kepada peneroka-peneroka tanah haram.

Keadaan menjadi agak panas, apabila penerokaan ini melibatkan kawasan-kawasan yang telah ada perancangan seperti Rancangan Tanah Kelompok ataupun Rancangan Pembesaran Kampung. Apabila ini berlaku, agak sukar mencari jalan penyelesaian kerana masing-masing ingin mempertahankan hak masing-masing tambahan pula bagi peneroka tanah haram yang mendakwa telah mengeluarkan modal yang banyak untuk mengusahakan tanah tersebut.

Pihak berkuasa perlu segera bertindak dan mencari kaedah terbaik bagi menyelesaikan masalah ini. Kawasan-kawasan tanah yang masih kosong perlu dikenalpasti dan disegerakan perancangannya termasuk mengagihkan kepada peserta-peserta terutama yang masih tidak mempunyai tanah selain tindakan tindakan yang lebih tegas kepada peneroka tanah haram.

| 0 comments | Thursday, June 21, 2012
|

Bagi golongan muda yang sudah berkeluarga, masalah besar yang dihadapi adalah untuk memiliki sebuah rumah. Bagi golongan yang berkemampuan, mungkin tidak menghadapi masalah kerana mempunyai banyak pilihan tetapi bagi yang tidak mampu, terpaksalah menunggu projek perumahan awam kos rendah yang entah bila akan dilaksanakan.

Walaupun terdapat Projek Rumah Mesra Rakyat yang boleh membantu golongan yang kurang berkemampuan untuk memiliki rumah sendiri, tetapi masalahnya mereka tidak mempunyai tapak untuk mendirikan rumah terutama yang tinggal di kawasan pekan ataupun bandar.

Oleh itu, tidak ada pilihan yang lain, melainkan pihak Kerajaan Negeri mewujudkan Perumahan Awam Kos Rendah di setiap pekan dan bandar agar golongan yang kurang berkemampuan ini dapat memiliki rumah. Jika tidak, masalah ini akan terus berleluasa di masa-masa yang akan datang.