Selamat datang ke desaku.
Something you might want to know about us.
Don't be hesitated to contact us if you have something to say.

Salam Pengenalan

Assalamualaikum...

Salam pengenalan dan selamat bertemu. Baru di kesempatan ini saya dapat bersama-sama mengambil bahagian untuk dikongsi bersama. Saya ni orang kampung, jadi kisah dan cerita saya lebih tertumpu di kawasan kampung terutama di kawasan Kuala Krau, Pahang. Banyak yang boleh diceritakan terutama soal-soal pembangunan, peluang ekonomi, masalah-masalah, isu-isu semasa serta perancangan dan potensi kampung. Semua kampung ingin maju dan berjaya, penduduknya dapat meningkatkan pendapatan ekonomi, keadaannya aman dan sejahtera, persekitarannya bersih, ceria dan indah serta udaranya bersih dan nyaman. Inilah yang dinamakan sebagai Desa Impian ataupun Desa Wawasan.

| 0 comments | Saturday, December 17, 2011
|

Bagi sesebuah kampung tradisional, Projek Rancangan Pembesaran Kampung (RPK) adalah sangat-sangat diperlukan kerana kawasan kampung sedia ada tidak lagi dapat menampung pertambahan penduduk terutama golongan muda samada generasi kedua ataupun ketiga bergantung kepada usia sesebuah kampung. Golongan ini yang tidak mempunyai tapak rumah serta tanah untuk bercucuk-tanam memerlukan sebuah kawasan berhampiran kampung bagi membina penempatan yang baru.

Setiap kepimpinan kampung perlu membincangkan perkara ini di samping mengenalpasti lokasi yang sesuai untuk dimajukan kepada pihak kerajaan negeri. Kebiasaannya, cadangan bagi tapak rumah dan pertanian ini adalah seluas 1 ekar seorang ataupun sekiranya tidak mengcukupi, sekadar setengah ekar seorang.

Harapan yang tinggi daripada golongan ini perlu diberi perhatian kerana mereka tidak boleh lagi bergantung kepada tanah ibu bapa yang semakin mengecil. Usaha-usaha ini diharap dapat memberi penyelesaian kepada mereka samada menetap terus di kampung akan memberi jaminan masa depan yang lebih baik.

| 0 comments | Friday, December 16, 2011
|

Sewaktu musim tengkujuh, kawasan mula-mula dinaiki air di Pekan Kuala Krau adalah di kawasan tapak pekan sehari Kuala Krau. Kedudukannya yang terletak di kawasan yang rendah berhampiran kuala Sungai Krau menyebabkan ianya mudah dinaiki air sekiranya paras air Sungai Krau serta Sungai Pahang naik.

Apabila keadaan ini berlaku, terpaksalah pekan sehari serta pasar malam dipindahkan ke kawasan pekan Kuala Krau yang menyebabkan keadaan menjadi begitu sesak tambahan di musim cuti sekolah ini. Jalan di tengah pekan telah ditutup dengan gerai-gerai jualan hinggakan menimbulkan kesulitan orang ramai untuk berurusan.

Sebagai sebuah pekan yang terhimpit di antara Sungai Pahang dengan laluan keretapi, tidak ada lagi tapak yang lebih sesuai untuk tapak pekan sehari yang baru. Kawasan yang sedia ada sudah begitu sesuai cuma perlu ditambak tinggi bagi mengelakkannya daripada berlaku banjir kilat.

Walaupun kos menambaknya agak tinggi tetapi ianya berpatutan dengan sebuah pekan yang mula pesat membangun. Sejak terbinanya Jambatan Kuala Krau sebelum ini, Pekan Kuala Krau telah menjadi agak sibuk serta begitu pesat pembangunannya.

| 0 comments | Thursday, December 15, 2011
|

Pemasangan paip air di Perkampungan Orang Asli Kg. Lubok Wong, Kg. Pian serta Kg. Kuala Terboi yang terletak di kawasan pendalaman di Dun Jenderak melegakan penduduk di perkampungan tersebut yang berjumlah hampir 1000 orang. Penduduk amat mengharapkan bekalan tersebut dapat sampai ke rumah selewat-lewatnya pada awal tahun hadapan nanti.

Selama ini mereka menggunakan bekalan air bukit yang disalurkan melalui projek yang dilaksanakan oleh Pejabat Kesihatan. Setelah sekian lama digunakan, paip tersebut telah mula uzur serta pecah di sana sini termasuk juga telah tersumbat dengan tanah dan batu. Apabila masalah ini berlaku, terpaksalah juga mereka menggunakan air sungai yang terletak berhampiran.

Setelah siap kerja-kerja pemasangan paip besar, kerja-kerja pemasangan paip ke rumah-rumah pula akan dilakukan. Kebiasaannya kos pemasangan ke rumah-rumah ini ditanggung oleh tuan rumah tetapi bagi kes Orang Asli, terpaksalah Wakil Rakyat berusaha mendapatkan peruntukan bagi menanggung keseluruhan kos termasuk bayaran deposit. Cuma bagi masyarakat Orang Asli di perkampungan tersebut, bekalan air nanti tidak lagi percuma tetapi perlu membayar sendiri bil air masing-masing.

| 0 comments |
|

Masalah bekalan air yang kerapkali terganggu di beberapa buah kampung di kawasan sekitar Kuala Krau baru-baru ini telah memberikan kesulitan kepada penduduk kampung terutama di musim cuti sekolah ini terutama bagi yang mengadakan majlis kenduri-kendara. Ini disebabkan oleh keadaan paip besar yang kerapkali pecah disebabkan telah terlalu uzur serta tidak tahan lagi untuk menampung tekanan air yang kuat.

Apabila keadaan ini berlaku, pihak JBA hanya membaiki di tempat yang pecah sahaja dan selang beberapa hari kemudian, tempat lain pula yang pecah. Keadaan menjadi bertambah teruk lagi apabila kerja-kerja membaiki lewat dilaksanakan hingga penduduk kampung terputus bekalan air sehingga beberapa hari.

Keadaan yang berterusan serta tidak menentu ini perlu dipulihkan hanya dengan menukar batang paip yang lama kepada yang baru. Dengan pertambahan rumah-rumah baru yang didirikan, tentu sahaja paip baru diperlukan bagi menampung tekanan air yang lebih kuat.

| 0 comments | Sunday, November 27, 2011
|

Program Kempen Membaja Peringkat DUN Jenderak anjuran Risda yang diadakan baru-baru ini walaupun dianggap hanya program biasa di kalangan penduduk kampung tetapi bertujuan meningkatkan kesedaran kepada pekebun-pekebun kecil agar hasil pertanian terutama getah dan sawit dapat dimaksimakan pengeluarannya.

Sepertimana kempen-kempen kesedaran yang lain, kempen membaja ini walaupun semua mengetahui akan tujuannya tetapi kesedaran perlu diberikan secara berterusan kerana bukan semua pekebun kecil bersedia mengeluarkan modal untuk membeli baja walaupun berkemampuan.

Daripada tinjauan yang dibuat, kebanyakan pekebun kecil terutama getah, tidak mengambil berat keperluan membaja kerana merasakan hasilnya tetap ada walaupun tidak dibaja. Anggapan ini yang menyebabkan hasil pertanian mereka tidak mencapai sasaran yang sepatutnya berbanding kebun-kebun yang diberi penjagaan sepenuhnya.

Kesedaran ini diharap menjadikan pekebun kecil dapat memberi penjagaan yang lebih kepada kebun masing-masing terutama pembajaan secara berjadual bagi memperolehi hasil yang lebih baik serta sebagai satu usaha meningkatkan pendapatan.

Kemeriahan Syawal

| 0 comments | Friday, September 30, 2011
|

Bulan Syawal baru sahaja berlalu tetapi pada tahun ini kemeriahannya begitu terasa sekali. Hampir setiap hari bermula dari awal hinggalah ke hari terakhir bulan Syawal ada sahaja Majlis Jamuan Hari Raya diadakan baik oleh Ahli Yang Berhormat sendiri mahupun agensi, jabatan dan juga oleh ngo-ngo. Bukan sahaja di bandar dan di pekan, malah di kampung-kampung juga begitu meriah sekali mengadakan majlis ini yang dianjurkan oleh jawatankuasa di peringkat kampung.

Kemeriahan turut terasa apabila semua cawangan UMNO di dalam Bahagian Kuala Krau diberikan sumbangan bagi mengadakan majlis di cawangan masing-masing. Sambutan yang diberikan oleh ahli-ahli serta penduduk kampung begitu meriah sekali dengan kehadiran yang di luar jangkaan disetiap majlis yang diadakan.

Ini membuktikan bahawa pada tahun ini rezeki kita telah bertambah dan masyarakat kampung dengan pendapatan yang agak baik telah dapat menyambut Hari Raya dengan penuh keselesaan dan kegembiraan. Sempena hari baik bulan baik ini juga, masyarakat kampung telah semakin sedar betapa perpaduan, semangat bekerjasama serta hubungan sirratulrahim sesama kita perlu dipelihara dan dipertingkatkan.

Sumbangan Duit Raya

| 0 comments | Wednesday, September 21, 2011
|

Di Pekan Kuala Krau baru-baru ini, sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri, seramai 300 orang telah berkumpul di dewan orang ramai bagi menerima sumbangan duit raya yang disumbangkan oleh pihak kerajaan negeri. Pada masa yang sama juga, seramai hampir 200 orang telah dipanggil ke Masjid Kuala Krau untuk menerima wang zakat yang disampaikan oleh pihak Majlis Ugama Islam Pahang hingga menjadikan pekan Kuala Krau begitu sibuk pada petang itu.

Penerima-penerima yang terdiri daripada warga emas, ibu tunggal, pesakit kronik, orang kurang upaya dan anak yatim yang kesemuanya dikategorikan sebagai miskin telah dipilih dari setiap kampung. Ketua-ketua keluarga Orang Asli yang Islam seramai 115 orang yang semuanya dikategorikan sebagai miskin juga telah disenaraikan sebagai penerima.

Majlis yang dirasmikan oleh YB. Ahli Parlimen Kuala Krau ini turut dihadiri oleh YB. ADUN Jenderak serta pemimpin-pemimpin setempat. Pada majlis itu, setiap seorang menerima sumbangan sebanyak rm200.00

Walaupun jumlahnya tidak seberapa tetapi besar ertinya kepada mereka yang benar-benar memerlukannya. Kemungkinan dengan pemberian ini akan terubat kesedihan mereka dan kita juga dapat sama-sama berkongsi kegembiraan bagi menyambut Hari Raya ini.

Pemulihan Tanah Paya Terbiar

| 0 comments | Tuesday, August 9, 2011
|


Bagi kampung-kampung tradisional, kebanyakannya diwujudkan kerana terdapat kawasan-kawasan tanah paya yang luas. Pada masa dahulu, penanaman padi merupakan aktiviti pertanian yang utama dan mana-mana kawasan yang terdapat tanah paya, akan dibuka dan seterusnya menjadi sebuah perkampungan walaupun ianya terletak di kawasan pendalaman.

Sehinggalah ke tahun 1980an, penanaman padi tidak lagi diusahakan di kebanyakan kampung kerana getah telah menjadi sumber pendapatan utama di samping anak-anak muda pada waktu itu tidak lagi berminat untuk membantu mengusahakan tanaman padi.

Di beberapa kampung, kawasan tersebut telah dimajukan oleh Felcra dengan tanaman kelapa sawit dan di kampung-kampung lain, kawasan tersebut terus terbiar hingga ke hari ini. Penduduk kampung pernah berfikir untuk mengusahakan tanaman kelapa sawit tetapi di kawasan tanah paya, kosnya agak tinggi.

Pihak kerajaan melalui Jabatan Pertanian perlu mengkaji perkara ini kerana telah berlarutan begitu lama. Sekiranya pihak kerajaan menyalurkan peruntukan bagi membantu memajukan tanah paya terbiar ini sebagaimana yang telah dibuat pada satu masa dahulu, sudah tentu ramai penduduk kampung akan menikmati hasilnya.





Penghantaran Surat Terus Ke Rumah

| 0 comments | Wednesday, July 6, 2011
|

Di kampung, masalah yang berlaku ialah apabila pihak Pos Malaysia tidak dapat menghantar surat terus ke rumah-rumah. Surat-surat hanya diletakkan di tempat-tempat tumpuan seperti di kedai, di surau ataupun masjid dan ada juga diletakkan di rumah-rumah tertentu. Oleh kerana tidak semua diambil oleh tuan punya, surat-surat yang ada menjadi bertimbun hingga menjadi masalah pula bagi orang ramai untuk mengenalpasti surat masing-masing.

Perkara ini sering menjadi rungutan orang ramai kerana ada masanya surat-surat yang penting lambat sampai ke tangan dan ada masanya hilang begitu sahaja. Banyak kali berlaku masalah serta ada yang terlepas tawaran-tawaran tertentu akibat daripada kelewatan surat sampai ke rumah masing-masing.

Masalah di kampung pula kerana rumah tidak bernombor. Rumah-rumah pula secara berselerak, ada yang di seberang sungai, ada yang di seberang paya dan ada yang melalui lorong-lorong kecil yang tidak diberi nama.

Pihak kepimpinan di kampung kena mengambil tindakan bagi mengatasi masalah ini supaya pihak Pos Malaysia yang sebelum ini telahpun menaikkan kos penghantaran surat dapat menghantar surat terus ke rumah-rumah walaupun di kawasan pendalaman.

Bagi mengatasi perkara ini, pihak kepimpinan di kampung perlu memberikan nombor pada setiap rumah secara berturutan serta memberikan nama kepada jalan dan lorong. Untuk jangka panjang sekiranya nanti terdapat rumah-rumah baru, lot-lot tanah yang kosong terutama di jalan utama perlu juga diberikan nombor. Nombor-nombot lot di dalam geran tanah juga boleh digunakan, terpulang kepada kesesuaian di kampung masing-masing.

Geran Tanah Di Perkampungan Orang Asli

| 0 comments | Sunday, June 26, 2011
|

Kebanyakan Perkampungan Orang Asli terletak di pendalaman termasuk meliputi kawasan-kawasan yang diwartakan oleh pihak kerajaan sebagai rizab perhutanan ataupun rizab perhilitan. Penduduk di sini telah menjadikan hasil pertanian terutama getah dan sawit sebagai pendapatan utama selain daripada penanaman padi untuk kegunaan sendiri.

Oleh itu, banyaklah kawasan-kawasan yang dibuka di pinggir kampung hingga meliputi kawasan yang telahpun dirizabkan sebagai rizab perhutanan dan perhilitan telah dijayakan dengan tanaman sawit dan getah.

Selama ini, penduduk Orang Asli tidak memikirkan perlunya ada geran tanah kerana mereka bebas mengusahakan tanah seberapa banyak yang mereka mahu. Tidak ada orang luar yang datang menceroboh dan pihak kerajaan tidak pernah mengambil sebarang tindakan walaupun tanah yang diusahakan termasuk di dalam kawasan rizab yang tidak boleh dicerobohi.

Namun, perkara ini telah menjadi modal pembangkang yang menggunakan isu ini bagi menarik sokongan Orang Asli. Mereka menjanjikan semua tanah-tanah di Perkampungan Orang Asli akan diberikan geran hakmilik sekiranya mereka memerintah nanti.

Pihak kerajaan juga telah mengkaji perkara ini dan sedang dalam proses untuk memberikan geran tanah kepada lot-lot rumah dan pertanian. Pemberian ini perlu dilakukan secara adil dan samarata supaya semua penduduk mendapat haknya termasuk golongan muda. Walaubagaimanapun, pemberian geran hakmilik ini ada baik dan buruknya. Mungkin selepas ini banyak tanah-tanah Orang Asli akan dijual termasuk kepada orang luar.

Pembangunan Di Perkampungan Orang Asli

| 0 comments | Monday, June 20, 2011
|

Di DUN Jenderak, terdapat sebanyak 10 buah perkampungan Orang Asli yang merupakan antara kawasan yang mempunyai ramai penduduk Orang Asli. Perkampungan tersebut terdiri daripada Kg. Penderas, Kg. Pasu, Kg. Lubok Wong, Kg. Pian, Kg. Kuala Terboi, Kg. Paya Mendoi, Kg. Seboi, Kg. Paya Rekoh, Kg. Berdut dan Kg. Paya Pelong yang kesemuanya berasal daripada suku kaum Jahut. Jumlah penduduknya hampir 5 ribu orang dan beberapa buah kampung seperti Kg. Penderas, Kg. Pasu, Kg. Pian dan Kg. Paya Pelong, penduduknya melebihi 500 orang.

Dari segi pembangunan, kampung-kampung ini setanding dengan kampung-kampung tradisional yang lain, cuma beberapa buah kampung yang terletak di kawasan pendalaman masih lagi belum menerima bekalan air bersih dan sebuah kampung yang masih lagi belum menerima bekalan elektrik. Walaubagaimanapun, masalah tersebut telah mula diatasi dan di dalam masa yang terdekat ini, semua kemudahan ini akan dapat dinikmati oleh penduduk kampung yang terlibat.

Bagi pembangunan ekonomi pula, hampir kesemua kampung telah diwujudkan Projek Tanam Semula Komersil (TSK) yang pesertanya terdiri daripada hampir kesemua jumlah ketua isi rumah di sesebuah kampung itu dan telah ada kampung yang telahpun menikmati dividen bulanannya. Program seperti ini telah dapat meningkatkan pendapatan di samping dapat mengeluarkan masyarakat Orang Asli daripada belenggu kemiskinan.

Masyarakat Orang Asli sepatutnya bersyukur dan berterima kasih kerana kerajaan sentiasa mengambil berat segala permasalahan mereka. Peruntukan yang besar telah disalurkan bagi mewujudkan rumah-rumah PPRT, kemudahan pembelajaran dan kebajikan mereka. Pembelaan yang berterusan ini bagi memastikan masyarakat Orang Asli dapat berubah agar tidak terus ketinggalan berbanding kaum-kaum yang lain.

Tuduhan Melampau Terhadap Dato' Seri Rais Yatim

| 0 comments | Thursday, January 6, 2011
|

Tuduhan terhadap Dato' Seri Rais Yatim yang telah merogol amahnya yang berasal dari Indonesia empat tahun dahulu mengemparkan kedua-dua buah negara. Cerita-cerita seperti ini memang menarik perhatian orang ramai apatah lagi melibatkan seorang menteri yang senior tetapi yang menjadi persoalannya, adakah tuduhan ini benar atau sengaja direka-reka.

Memang mudah kita menuduh seseorang, rekalah apa sahaja dan kemudian kita hebohkan kepada orang ramai. Orang kampungpun dapat menilai, jika sekiranya cerita ini benar, mengapa hanya sekarang didedahkan. Itupun berasaskan daripada sebuah catatan yang sesiapapun boleh buat.

Nampaknya perkara ini sengaja dimain-mainkan oleh golongan yang memang suka mencari pasal untuk memburuk-burukkan kerajaan. Kalau boleh semuanya nampak tidak baik di mata rakyat.