Salam Pengenalan
Assalamualaikum...
Kemajuan Sesebuah Kampung
Posted by Ideadesa | 0 comments | Wednesday, December 8, 2010at 7:57 AM |
Kemajuan sesebuah kampung biasanya diukur dari segi pencapaian ekonomi penduduknya serta segala kemudahan yang disediakan. Sekiranya semua penduduknya berpendapatan tinggi, sudah tentu mereka mempunyai rumah-rumah yang besar dan cantik serta halaman yang indah dan bersih. Sebaliknya, sekiranya kebanyakan penduduknya berpendapatan rendah, sudah tentu rumah yang didiami hanya rumah biasa yang tidak menampakkan sangat keceriaannya.
Dengan pendapatan penduduk-penduduk kampung khususnya pekebun kecil getah dan sawit yang berada di paras tertinggi, membolehkan kampung-kampung mula berubah wajah. Kebanyakan rumah-rumah lama diganti dengan yang baru manakala yang kecil diperbesarkan. Sudah tentu juga dengan rumah yang baru, halamannya juga dibersihkan dan dihiasi dengan tanam-tanaman yang menampakkan keindahannya.
Perubahan yang amat ketara inilah yang menjadikan kebanyakan kampung telah berubah wajah menjadi sebuah kampung yang lebih indah dan ceria. Inilah sebenarnya kayu pengukur kemajuan sesebuah kampung yang seharusnya kita bersyukur dan berterima kasih.
Penerokaan Tanah Secara Haram
Posted by Ideadesa | 0 comments | Monday, December 6, 2010at 2:45 PM |
Di kampung-kampung kebelakangan ini, boleh dikatakan tidak ada lagi tanah-tanah kosong kerajaan yang tinggal. Kalau adapun hanyalah tanah-tanah yang dirizabkan seperti rizab hutan simpan dan juga rizab perhilitan. Semuanya telah diterokai secara haram oleh segelintir penduduk kampung malahan rizab sungaipun habis dibersihkan.
Inilah yang menjadi masalah kepada kepimpinan kampung bagi mencadangkannya sebagai projek tanah kelompok ataupun projek pembesaran kampung yang boleh diagih-agihkan kawasan tanah tersebut secara adil kepada penduduk kampung terutama golongan muda serta yang tidak mempunyai tanah.
Pernah kawasan-kawasan yang dicadangkan sebagai sesuatu projek untuk penduduk kampung seperti tanah kelompok dan Felcra dibatalkan setelah didapati kawasan tanah tersebut sebahagian besarnya telah diterokai. Walaupun ramai penduduk kampung tidak puas hati dan membuat bantahan, namun kawasan tersebut tetap dimenangi oleh yang meneroka walaupun secara haram.
Akibat daripada keadaan tersebut, banyaklah lagi kawasan-kawasan tanah yang diterokai kerana mereka berpendapat inilah satu-satunya peluang untuk memiliki tanah. Kalau memohon di Pejabat Tanah sekalipun belum tentu mendapat kelulusan malahan prosesnya memakan masa puluhan tahun. Oleh itu, inilah cara yang diamalkan, siapa cepat dia dapat.
Walaubagaimanapun, perkara ini tidak menyelesaikan masalah kepada penduduk kampung yang masih tidak memiliki tanah. Hanya yang berani serta berkemampuan sahaja yang boleh meneroka tanah malahan golongan ini tidak pernah cukup dengan tanah yang mereka terokai, kalau boleh hingga ratusan ekar.
Masalah ini berlaku kemungkinan disebabkan oleh longgarnya undang-undang meneroka tanah secara haram. Jarang-jarang sekali kita mendengar orang yang meneroka tanah secara haram didakwa di mahkamah apatah lagi dihukum penjara. Kalau adapun kesudahannya diselesaikan begitu sahaja dan tanah yang diterokai tetap boleh diusahakan.
Sudah sampai masanya, undang-undang yang lebih tegas serta lebih berat dilaksanakan agar orang ramai berasa takut untuk menerokai tanah sesuka hati. Kawasan-kawasan yang diterokai perlu dikosongkan jika tidak akan menghadapi undang-undang yang berat termasuk dihukum penjara. Jangan difikirkan ketidakpuasan hati mereka tetapi perlu difikirkan nasib lebih ramai lagi golongan yang tidak mempunyai tanah serta nasib golongan muda.
Masalah Tanah Paya Terbiar
Posted by Ideadesa | 0 comments | Thursday, November 11, 2010at 1:59 PM |
Di kampung tradisional terutamanya, terdapat banyak kawasan-kawasan tanah paya yang sehingga kini kekal terbiar. Sesetengah kampung mempunyai kawasan tanah paya yang agak luas hingga ratusan ekar. Dahulu kawasan inilah yang merupakan lubuk emas kepada penduduk kampung untuk menanam padi malahan kewujudan sesebuah kampung adalah disebabkan oleh kawasan tanah paya.
Walaupun beberapa kawasan paya di kampung-kampung telah dimajukan oleh agensi seperti Felcra sebelum ini tetapi bagi yang tidak dimajukan, kawasan tersebut kekal terbiar hingga kini. Berbagai usaha telah dibuat untuk membaikpulih tanah terbiar ini seperti menjadikannya sebagai projek estet ikan, membina kolam-kolam ikan dan sebagainya tetapi tidak mendatangkan hasil pulangan yang baik.
Kini, penduduk kampung perlu memikirkan sesuatu apatah lagi kawasan tanah paya inilah lagi yang tinggal tidak diusahakan. Dengan kedudukan ekonomi yang amat baik hasil daripada getah dan sawit, tidak ada masalah bagi mengusahakannya dengan tanaman kelapa sawit. Banyak kawasan-kawasan tanah paya yang dimajukan dengan tanaman sawit sebelum ini mendatangkan hasil yang berlipat ganda jika dibuat dengan cara yang sistematik.
Penduduk kampung bukan sahaja dapat menambahkan pendapatan hasil daripada projek yang diusahakan malahan juga akan dapat menyelesaikan masalah tanah-tanah terbiar di samping menjadikan kampung lebih lebih cantik, jauh daripada kawasan semak samun.
Program Mengimarahkan Masjid
Posted by Ideadesa | 0 comments | Tuesday, October 26, 2010at 2:00 PM |
Masjid di kampung sekarang ini kebanyakannya telah berwajah baru. Ada yang dibina baru dan ada yang telah dinaiktarafkan bangunannya hingga menampakkan seperti baru. Kerajaan telah menyediakan peruntukan yang besar hingga menjadikan masjid sebagai sebuah mercu tanda di sesebuah kampung.
Dengan terbinanya masjid yang baru dan selesa, sudah tentu ianya perlu dimanfaatkan sepenuhnya oleh seluruh penduduk kampung. Selain sebagai tempat menunaikan solat, ianya juga perlu dijadikan sebagai pusat aktiviti keagamaan bagi menarik lebih ramai kariah terutama golongan muda.
Pihak jawatankuasa masjid perlu lebih aktif mangatur program-program seperti Kelas Al-Quran, fardhu ain dan ceramah agama di samping program sambutan hari-hari kebesaran Islam. Usaha-usaha yang gigih perlu dilakukan bagi mempastikan masjid menjadi tumpuan pada setiap waktu, bukan pada hari Jumaat sahaja.
Bagi penduduk kampung, janganlah pula hanya berbangga kerana mempunyai masjid yang besar dan cantik tetapi tidak dimanfaatkan sepenuhnya. Dengan adanya masjid yang hebat, sudah tentu memerlukan kariah yang hebat.
Keselamatan Anak-Anak Di Jalan Raya
Posted by Ideadesa | 0 comments | Tuesday, October 19, 2010at 3:41 PM |
Di kampung sekarang ini, begitu banyak kenderaan yang lalu lalang tidak kira siang ataupun malam. Berbeza pada masa dahulu, jarang-jarang sekali kenderaan yang keluar masuk dan jika adapun, penduduk-penduduk kampung akan memerhatikan kenderaan tersebut hingga terlepas daripada pandangan. Begitulah sibuknya jalan kampung pada masa ini yang disebabkan oleh pertambahan kenderaan terutama di kalangan penduduk kampung sendiri.
Bagi penduduk kampung, hasil daripada harga getah dan sawit yang sangat baik, telah menjadikan kenderaan sebagai keperluan utama. Kereta atau motosikal yang lama telah digantikan dengan yang baru serta yang berkuasa tinggi. Boleh dikatakan di setiap rumah telah mempunyai kereta serta lebih daripada sebuah motosikal apatah lagi bagi yang berkeluarga besar.
Masalahnya ialah anak-anak terutama golongan remaja yang masih bersekolah telah menggunakan motosikal termasuk untuk berulang-alik ke sekolah walaupun tidak mempunyai lesen. Di waktu lepas sekolah, mereka ini telah meronda-ronda di kawasan kampung dan ada juga yang sudah mula meniru kumpulan mat rempit. Adakalanya mereka ini telah masuk ke kawasan pekan tanpa memakai topi keledar seolah-olah ingin menunjuk-nunjuk lagak mereka.
Pihak polispun serba salah, nak disaman, anak orang kampung. Banyak juga kemalangan yang melibatkan golongan ini dan ada yang membawa kepada kematian.
Di dalam perkara ini, ibubapalah yang bertanggungjawab sepenuhnya. Ibubapa tidak boleh memberi kebebasan sepenuhnya kepada anak-anak untuk menunggal motosikal. Kalau amat perlu sekalipun, ibubapa perlu mengawasi serta memantau aktiviti anak-anak agar tidak disalahgunakan untuk perkara-perkara yang membahayakan nyawa mereka.
Peningkatan Kemudahan Di Desa
Posted by Ideadesa | 0 comments | Sunday, August 29, 2010at 12:48 PM |
Di setiap kampung, kemudahan-kemudahan asas telah dipertingkatkan dengan begitu rancak sekali. Kampung-kampung kini telah dilengkapi dengan pelbagai kemudahan termasuk pembinaan masjid, surau, balai raya ataupun dewan orang ramai yang baru. Bagi belia-belia, pembinaan beberapa buah gelanggang futsal telah dapat mempertingkatkan semangat bersukan, yang merupakan aktiviti sukan utama belia-belia pada masa ini.
Pendek kata, tidak ada lagi masalah pembangunan dan kemudahan asas yang perlu diperjuangkan oleh pihak kepimpinan kampung. Jalan-jalan kampung kebanyakannya telah dinaiktaraf, begitu juga jalan-jalan pertanian bagi kemudahan pekebun-pekebun kecil mengeluarkan hasil pertanian.
Pada masa ini juga, beberapa buah pusat jalur lebar komuniti telah diwujudkan di beberapa buah felda dan selepas ini kemungkinan akan diwujudkan pula di kampung-kampung tradisional. Ini akan memberi kemudahan kepada orang ramai terutama kepada pelajar-pelajar sekolah untuk melayari internet tambahan pula baru-baru ini, begitu ramai sekali pelajar-pelajar sekolah yang menerima netbook secara percuma daripada pihak kerajaan.
Yang penting, kita perlu menghargai serta memanfaatkan segala kemudahan yang telah disediakan.
Peningkatan Ekonomi Penduduk Desa
Posted by Ideadesa | 0 comments | Wednesday, March 10, 2010at 3:26 PM |
Sejak harga komoditi getah dan sawit berada di paras tertinggi beberapa tahun ini, perubahan begitu ketara di kalangan pekebun-pekebun kecil getah dan sawit termasuk mereka yang bekerja dengan memajak kebun milik orang lain. Kebanyakannya berpendapatan 4 angka yang sebelum ini memang tidak pernah bermimpi untuk menerima sebegitu lumayan hasilnya. Tidak ada lagi istilah malas terutama kepada penoreh-penoreh getah, tidak kira siang atau malam asalkan getah penuh di mangkuk.
Kebanyakan rumah-rumah telah berubah wajah, tidak ada lagi rumah-rumah papan yang lama, semuanya telah dibina baru setidak-tidaknya di bahagian dapur. Ramai yang telah mampu memiliki kereta termasuk beberapa buah motosikal baru. Pendek kata, apa saja yang diinginkan, mampu dimiliki.
Inilah masanya untuk menabung lebih sedikit demi masa depan terutama mempastikan perbelanjaan mencukupi bagi anak-anak untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat tertinggi. Mana yang telah mampu, bolehlah mendaftar bagi menunaikan Rukun Islam kelima sementara usia masih muda dan bertenaga.
Kita seharusnya bersyukur dengan nikmat yang telah diberikan serta berterima kasih kepada kerajaan yang sentiasa memperjuangkan nasib pekebun-pekebun kecil di samping mempastikan negara ini sentiasa aman dan sejahtera.
Masalah Remaja Desa
Posted by Ideadesa | 0 comments | Sunday, January 31, 2010at 6:46 AM |
Remaja di desa tidak terlepas daripada masalah-masalah sosial seperti menghisap rokok, meminum arak, melepak di tepi-tepi jalan, merempit, pergaulan bebas dan yang paling teruk terlibat dengan penyalahgunaan dadah. Apa-apa sahaja budaya yang tidak sihat daripada luar menjadi ikutan seolah-olah sebagai satu trend remaja masa kini.
Bagi menangani permasalahan ini, semua pihak perlu memainkan peranan terutama ibubapa sendiri yang perlu menunjukkan ketegasan di dalam mendidik anak-anak. Ibubapa tidak boleh lagi membiarkan anak-anak keluar sesuka hati di samping sentiasa memantau pergerakan anak-anak. Ketegasan di dalam perkara ini amat perlu agar anak-anak lebih menghormati ibubapa serta takut untuk melakukan perkara-perkara yang tidak baik.
Kepimpinan di peringkat kampung juga perlu memainkan peranan yang besar serta menjadi agenda utama di dalam membimbing remaja-remaja. Program serta aktiviti berterusan perlu diadakan sesuai dengan kehendak dan minat agar remaja-remaja mendapati diri mereka sentiasa diberikan perhatian serta masa yang terluang dapat diisi sepenuhnya.
Pihak Jawatankuasa Masjid dan Surau perlu mengatur program-program agama yang lebih khusus kepada kumpulan remaja di samping Persatuan Belia sendiri perlu memainkan peranan penting didalam menentukan halatuju remaja-remaja.
Usaha-usaha yang lebih gigih akan menjadikan remaja-remaja bersih daripada kegiatan-kegiatan tidak sihat dan seterusnya akan mewujudkan sebuah masyarakat yang harmoni dan kampung itu sendiri menjadi sebuah kampung yang selamat dan selesa untuk didiami.
Kemiskinan Sifar Di Desa
Posted by Ideadesa | 0 comments | Tuesday, January 12, 2010at 7:08 AM |
Di kampung-kampung, kemiskinan biasanya dikaitkan dengan mereka yang tidak mempunyai harta, tidak mempunyai kebun getah atau sawit yang luas, yang bekerja sebagai penoreh getah pajak dengan pendapatan yang tidak seberapa serta yang bekerja sebagai buruh dengan pendapatan yang kecil.
Selain daripada itu, kemiskinan juga dikaitkan dengan mereka yang mempunyai tanggungan yang ramai terutama yang masih bersekolah, ibu-ibu tunggal yang ditinggalkan tanpa harta dan pencen serta mereka yang sakit terlantar dan orang-orang yang kurang upaya.
Bagi meringankan bebanan golongan ini, kerajaan telah mengadakan beberapa program khususnya Jabatan Kebajikan Masyarakat dengan Projek Carinya serta melalui Pejabat Daerah yang menyenaraikan Peserta E-Kasih yang terdiri daripada golongan miskin tegar, golongan miskin serta golongan mudah miskin di setiap Kawasan Dewan Undangan Negeri.
Wakil-Wakil Rakyat juga di setiap perjumpaan telah menekankan perkara ini kepada semua pemimpin-pemimpin masyarakat agar mengenalpasti golongan ini dan seterusnya membantu mengisi borang-borang permohonan untuk disalurkan kepada pihak yang berkenaan. Seboleh-bolehnya melalui program yang diadakan ini, tidak ada lagi yang terlepas pandang dengan semua yang difikirkan layak mengemukakan permohonan.
Melalui Projek Cari contohnya, ramai daripada golongan miskin, sakit terlantar, warga emas, anak yatim serta orang kurang upaya telah menerima sumbangan wang tunai pada setiap bulan manakala bagi Peserta E-Kasih akan dibuat siasatan mengikut keperluan setiap golongan samada bagi membina rumah PPRT, mengadakan projek-projek ekonomi ataupun lain-lain sumbangan yang difikirkan perlu.
Selain daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Pejabat Daerah, agensi serta jabatan kerajaan yang lain seperti Pusat Zakat, Kemas, Risda dan lain-lain jabatan kerajaan juga banyak membantu bagi meringankan bebanan golongan-golongan ini sehinggakan tidak ada lagi golongan yang langsung tidak diberikan pembelaan. Ini tidak termasuk lagi bantuan-bantuan yang disalurkan kepada pelajar-pelajar miskin dari sekolah rendah, menengah hinggalah kepada pengajian tinggi.
Sebenarnya, usaha-usaha pihak kerajaan bagi membasmi kemiskinan telah wujud sejak tahun 70an lagi dengan pembukaan begitu banyak rancangan tanah Felda dan selepas itu diwujudkan pula rancangan tanah Felcra. Maka, ramailah orang-orang kampung telah berpindah ke Felda bagi memulakan penghidupan baru serta selepas itu, makin ramai pula orang-orang kampung yang berasa agak selesa kerana dipilih sebagai Peserta Felcra.
Pada masa ini, tanah tidak ada yang luas lagi, maka tidak adalah lagi Felda ataupun Felcra. Namun kerajaan akan terus membela golongan-golongan ini dan kita sebagai warga desa, yang sedikit sebanyak mendapat pembelaan haruslah berterima kasih serta mensyukuri nikmat yang telah diberikan.
Perancangan Kampung Melalui Pelan Tindakan Desa
Posted by Ideadesa | 0 comments | Friday, January 1, 2010at 4:00 PM |
Setiap kampung perlu mempunyai pelan tindakan desanya sendiri bagi membolehkan perancangan pembangunan yang lebih lengkap, teratur dan berkesan. Di samping itu, ianya bagi mempastikan halatuju sesebuah kampung ke arah peningkatan yang lebih baik dan seterusnya mewujudkan sebuah kampung yang maju dan berjaya.
Pelan Tindakan Desa merupakan satu perancangan yang dibuat di dalam sesuatu tempoh masa yang pendek, sebagai contoh 3 tahun, yang mengandungi segala program, cadangan serta projek-projek pembangunan bagi sesebuah kampung itu.
Pengisian Pelan Tindakan Desa perlu meliputi maklumat-maklumat asas atau profil kampung yang terdiri daripada sejarah kampung, peta atau pelan lokasi, jumlah kegunaan tanah, agihan pendapatan, kemudahan awam dan infrastruktur, aktiviti kemasyarakatan, aktiviti ekonomi, pencapaian kampung, masalah yang wujud, potensi atau kelebihan kampung serta wawasan dan objektif pembangunan sesebuah kampung itu.
Kepimpinan di sesebuah kampung perlu menggerakkan kampungnya mengikut perancangan yang telah ditetapkan berdasarkan kepada kelemahan atau kekurangan serta kelebihan atau potensi kampung itu sendiri. Setiap kelemahan atau kekurangan perlu ada usaha-usaha ke arah jalan penyelesaiannya manakala setiap potensi atau kelebihan kampung perlu dieksploitasikan terutama di dalam meningkatkan ekonomi penduduk-penduduk kampung.
Dengan adanya perancangan yang kemas dan teratur, setiap kampung akan mempunyai wawasannya sendiri ke arah mewujudkan sebuah kampung yang lebih baik, maju dan berjaya sesuai dengan slogannya "Komuniti Berdaya Desa Berjaya".
Subscribe to:
Posts (Atom)