Salam Pengenalan
Assalamualaikum...
Kemiskinan Sifar Di Desa
Posted by Ideadesa | | Tuesday, January 12, 2010at 7:08 AM |
Di kampung-kampung, kemiskinan biasanya dikaitkan dengan mereka yang tidak mempunyai harta, tidak mempunyai kebun getah atau sawit yang luas, yang bekerja sebagai penoreh getah pajak dengan pendapatan yang tidak seberapa serta yang bekerja sebagai buruh dengan pendapatan yang kecil.
Selain daripada itu, kemiskinan juga dikaitkan dengan mereka yang mempunyai tanggungan yang ramai terutama yang masih bersekolah, ibu-ibu tunggal yang ditinggalkan tanpa harta dan pencen serta mereka yang sakit terlantar dan orang-orang yang kurang upaya.
Bagi meringankan bebanan golongan ini, kerajaan telah mengadakan beberapa program khususnya Jabatan Kebajikan Masyarakat dengan Projek Carinya serta melalui Pejabat Daerah yang menyenaraikan Peserta E-Kasih yang terdiri daripada golongan miskin tegar, golongan miskin serta golongan mudah miskin di setiap Kawasan Dewan Undangan Negeri.
Wakil-Wakil Rakyat juga di setiap perjumpaan telah menekankan perkara ini kepada semua pemimpin-pemimpin masyarakat agar mengenalpasti golongan ini dan seterusnya membantu mengisi borang-borang permohonan untuk disalurkan kepada pihak yang berkenaan. Seboleh-bolehnya melalui program yang diadakan ini, tidak ada lagi yang terlepas pandang dengan semua yang difikirkan layak mengemukakan permohonan.
Melalui Projek Cari contohnya, ramai daripada golongan miskin, sakit terlantar, warga emas, anak yatim serta orang kurang upaya telah menerima sumbangan wang tunai pada setiap bulan manakala bagi Peserta E-Kasih akan dibuat siasatan mengikut keperluan setiap golongan samada bagi membina rumah PPRT, mengadakan projek-projek ekonomi ataupun lain-lain sumbangan yang difikirkan perlu.
Selain daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Pejabat Daerah, agensi serta jabatan kerajaan yang lain seperti Pusat Zakat, Kemas, Risda dan lain-lain jabatan kerajaan juga banyak membantu bagi meringankan bebanan golongan-golongan ini sehinggakan tidak ada lagi golongan yang langsung tidak diberikan pembelaan. Ini tidak termasuk lagi bantuan-bantuan yang disalurkan kepada pelajar-pelajar miskin dari sekolah rendah, menengah hinggalah kepada pengajian tinggi.
Sebenarnya, usaha-usaha pihak kerajaan bagi membasmi kemiskinan telah wujud sejak tahun 70an lagi dengan pembukaan begitu banyak rancangan tanah Felda dan selepas itu diwujudkan pula rancangan tanah Felcra. Maka, ramailah orang-orang kampung telah berpindah ke Felda bagi memulakan penghidupan baru serta selepas itu, makin ramai pula orang-orang kampung yang berasa agak selesa kerana dipilih sebagai Peserta Felcra.
Pada masa ini, tanah tidak ada yang luas lagi, maka tidak adalah lagi Felda ataupun Felcra. Namun kerajaan akan terus membela golongan-golongan ini dan kita sebagai warga desa, yang sedikit sebanyak mendapat pembelaan haruslah berterima kasih serta mensyukuri nikmat yang telah diberikan.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment