Salam Pengenalan
Assalamualaikum...
Penerokaan Tanah Secara Haram
Posted by Ideadesa | | Monday, December 6, 2010at 2:45 PM |
Di kampung-kampung kebelakangan ini, boleh dikatakan tidak ada lagi tanah-tanah kosong kerajaan yang tinggal. Kalau adapun hanyalah tanah-tanah yang dirizabkan seperti rizab hutan simpan dan juga rizab perhilitan. Semuanya telah diterokai secara haram oleh segelintir penduduk kampung malahan rizab sungaipun habis dibersihkan.
Inilah yang menjadi masalah kepada kepimpinan kampung bagi mencadangkannya sebagai projek tanah kelompok ataupun projek pembesaran kampung yang boleh diagih-agihkan kawasan tanah tersebut secara adil kepada penduduk kampung terutama golongan muda serta yang tidak mempunyai tanah.
Pernah kawasan-kawasan yang dicadangkan sebagai sesuatu projek untuk penduduk kampung seperti tanah kelompok dan Felcra dibatalkan setelah didapati kawasan tanah tersebut sebahagian besarnya telah diterokai. Walaupun ramai penduduk kampung tidak puas hati dan membuat bantahan, namun kawasan tersebut tetap dimenangi oleh yang meneroka walaupun secara haram.
Akibat daripada keadaan tersebut, banyaklah lagi kawasan-kawasan tanah yang diterokai kerana mereka berpendapat inilah satu-satunya peluang untuk memiliki tanah. Kalau memohon di Pejabat Tanah sekalipun belum tentu mendapat kelulusan malahan prosesnya memakan masa puluhan tahun. Oleh itu, inilah cara yang diamalkan, siapa cepat dia dapat.
Walaubagaimanapun, perkara ini tidak menyelesaikan masalah kepada penduduk kampung yang masih tidak memiliki tanah. Hanya yang berani serta berkemampuan sahaja yang boleh meneroka tanah malahan golongan ini tidak pernah cukup dengan tanah yang mereka terokai, kalau boleh hingga ratusan ekar.
Masalah ini berlaku kemungkinan disebabkan oleh longgarnya undang-undang meneroka tanah secara haram. Jarang-jarang sekali kita mendengar orang yang meneroka tanah secara haram didakwa di mahkamah apatah lagi dihukum penjara. Kalau adapun kesudahannya diselesaikan begitu sahaja dan tanah yang diterokai tetap boleh diusahakan.
Sudah sampai masanya, undang-undang yang lebih tegas serta lebih berat dilaksanakan agar orang ramai berasa takut untuk menerokai tanah sesuka hati. Kawasan-kawasan yang diterokai perlu dikosongkan jika tidak akan menghadapi undang-undang yang berat termasuk dihukum penjara. Jangan difikirkan ketidakpuasan hati mereka tetapi perlu difikirkan nasib lebih ramai lagi golongan yang tidak mempunyai tanah serta nasib golongan muda.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment