Selamat datang ke desaku.
Something you might want to know about us.
Don't be hesitated to contact us if you have something to say.

Salam Pengenalan

Assalamualaikum...

Salam pengenalan dan selamat bertemu. Baru di kesempatan ini saya dapat bersama-sama mengambil bahagian untuk dikongsi bersama. Saya ni orang kampung, jadi kisah dan cerita saya lebih tertumpu di kawasan kampung terutama di kawasan Kuala Krau, Pahang. Banyak yang boleh diceritakan terutama soal-soal pembangunan, peluang ekonomi, masalah-masalah, isu-isu semasa serta perancangan dan potensi kampung. Semua kampung ingin maju dan berjaya, penduduknya dapat meningkatkan pendapatan ekonomi, keadaannya aman dan sejahtera, persekitarannya bersih, ceria dan indah serta udaranya bersih dan nyaman. Inilah yang dinamakan sebagai Desa Impian ataupun Desa Wawasan.

Gerai 24 Jam

| 0 comments | Thursday, November 27, 2014
|

Gerai-gerai ataupun restoran yang dibuka 24 jam ada baik dan buruknya. Di bandar-bandar besar mungkin banyak kebaikannya tetapi di pekan-pekan kecil, perkara ini perlu dikaji semula. Bagi pekan-pekan kecil, gerai 24 jam ini hanya memberi peluang kepada anak-anak muda untuk berkumpul dan melepak hingga ke awal pagi.

Jika dahulu gejala lepak di kedai-kedai kopi hanya sehingga kedai ditutup tetapi kini dengan adanya gerai 24 jam, bukan sahaja golongan tua tetapi yang paling dikhuatiri adalah golongan muda yang berpeleseran serta kaki lumba haram dan keadaan ini akan mengundang kepada perkara-perkara yang tidak sihat.

Anak-anak muda yang sebelum ini banyak menghabiskan masa di rumah tetapi kini menunggu waktu malam sahaja untuk keluar sehinggakan ibu bapa tidak dapat lagi mengawal mereka dengan alasan untuk keluar minum bersama kawan-kawan.

Pihak berkuasa perlu mengkaji semula pembukaan gerai atau restoran 24 jam ini terutama di kawasan pekan kecil kerana terbukti lebih banyak membawa keburukan daripada kebaikan. Dengan menghadkan pembukaannya sehingga jam 10.00 malam, bukan sahaja boleh menghindarkan anak-anak muda daripada terus melepak dan membuang masa tetapi juga dapat memberikan kesedaran tentang trend pemakanan tidak sihat yang diamalkan selama ini.

Aktiviti Pam Pasir

| 0 comments |
|

Aktiviti pam pasir yang telah dijalankan di beberapa tempat di sepanjang Sungai Pahang sekitar Kuala Krau telah menimbulkan pelbagai masalah termasuk pencemaran udara kepada penduduk kampung di samping pengusaha ternakan ikan sangkar, nelayan sungai serta penduduk yang tinggal berhampiran kawasan projek tersebut.

Projek tersebut hanya memberi keuntungan kepada pihak pengusaha tetapi kesan negatifnya diterima oleh penduduk kampung. Lori-lori pasir yang membawa muatan melebihi 30 tan telah merosakkan jalan dan dicemari pula oleh debu pasir yang beterbangan dan keadaan ini akan membahayakan serta mengancam kesihatan penduduk kampung.

Bagi pengusaha ternakan ikan sangkar, projek ini boleh menjejaskan mata pencarian mereka apabila keadaan air telah tercemar dan boleh mengakibatkan ikan yang dipelihara mati ataupun terbantut pembesarannya. Begitu juga dengan nelayan sungai yang mendapati hasil tangkapan mereka semakin berkurangan, tidak lagi seperti sebelum ini.

Dengan berbagai-bagai masalah yang timbul akibat daripada projek tersebut, pihak berkuasa perlu mengkaji semula kesannya kepada penduduk kampung. Kelulusan sesuatu projek tersebut perlu dihadkan dan syarat-syarat menjalankan operasinya perlu diperketatkan dan apabila projek yang dijalankan terbukti menjejaskan kehidupan penduduk di kawasan tersebut, ianya perlu diberhentikan.



Sukarelawan Kospen

| 0 comments | Tuesday, November 25, 2014
|

Program terbaharu yang dijalankan di kampung-kampung sekarang ini adalah Program Komuniti Sihat Perkasa Negara atau singkatannya Kospen. Program yang dianjurkan oleh Pejabat Kesihatan Daerah bersama-sama pihak Kemas adalah memberi pendedahan kepada penduduk-penduduk kampung mengenai amalan gaya hidup sihat serta bagi menggalakkan masyarakat untuk membuat pemeriksaan kesihatan bagi mengesan penyakit sejak di peringkat awal lagi.

Seramai 10 orang sukarelawan telah dipilih serta diberi latihan bagi menggunakan alatan perubatan untuk mengesan tekanan darah, mengesan kandungan gula di dalam darah serta mengesan tahap obesiti seseorang. Bagi meningkatkan lagi kemahiran sukarelawan tersebut, program-program telah diatur bagi mengumpulkan penduduk-penduduk kampung bagi menjalani pemeriksaan kesihatan yang akan diawasi sendiri oleh pihak Klinik Kesihatan.

Bagi sesetengah penduduk kampung, mereka memandang ringan mengenai tahap kesihatan mereka hinggakan ada yang tidak mahu untuk melakukan pemeriksaan kesihatan. Hinggakan keadaan mereka bertambah teruk, baharulah hendak ke klinik dan ini menjadikan masalah besar kerana penyakit yang dihadapi di tahap yang membahayakan.

Melalui program seperti ini, tahap kesihatan seseorang akan dapat dikesan lebih awal dan rawatan akan menjadi lebih mudah. Bagi yang bermasalah apabila menjalani pemeriksaan oleh para sukarelawan, akan terus dirujuk ke hospital ataupun klinik kesihatan yang berhampiran. Tindakan seperti ini akan menjadikan seseorang itu dapat mengesan sesuatu penyakit di peringkat awal lagi dan ini memudahkan rawatan diberikan kepada mereka.

Ancaman Penagih Dadah

| 0 comments | Wednesday, November 19, 2014
|

Penagihan dadah seolah-olah tiada jalan penyelesaiannya. Berbagai-bagai usaha telah dijalankan bagi membenteras masalah ini tetapi saban hari bilangannya di kalangan anak muda tidak pernah berkurangan. Hampir di setiap kawasan dan kampung terdapatnya penagih-penagih dadah dan keadaan ini menjadikan masyarakat sentiasa resah dan bimbang, bukan sahaja akan berlaku sesuatu kecurian malahan boleh mempengaruhi anak-anak muda yang lain.

Keadaan di kampung sekarang tidak lagi aman dan tenteram selagi terdapatnya penagih-penagih dadah ini berkeliaran. Mereka akan mencari peluang untuk mencuri apa sahaja semata-mata untuk mendapatkan wang untuk membeli bekalan dadah mereka. Kes-kes kecurian telah meningkatkan samada kes pecah rumah, kecurian hasil-hasil pertanian, kecurian motosikal malahan wang tabung di masjid juga telah dicuri.

Pihak kerajaan perlu memainkan peranan yang penting dalam menghapuskan gejala ini. Undang-undang yang berkaitan dengan dadah perlu diperketatkan lagi agar pengedar dan penagih dadah serik dengan perbuatan mereka. Dengan adanya undang-undang yang cukup baik tetapi pelaksanaannya yang lemah tidak akan menyelesaikan masalah ini.

Selain itu, penagih dadah tidak boleh lagi dikategorikan sebagai pesakit tetapi telah menjadi seorang pencuri dan penjenayah. Apabila mereka ditangkap, mereka perlu dianggap sebagai penjenayah serta perosak masyarakat kerana perbuatan mereka bukan sahaja mengambil dadah tetapi telah banyak membawa ancaman kepada masyarakat.

Keperluan Lot-Lot Perumahan

| 0 comments | Monday, November 10, 2014
|

Bagi generasi muda yang menetap di kampung, antara keperluan yang sangat-sangat diharapkan adalah memiliki tanah-tanah untuk membina rumah dan tanah-tanah untuk pertanian. Mungkin tanah untuk pertanian melibatkan kawasan yang bersaiz besar tetapi untuk membina rumah hanya melibatkan kawasan sekurang-kurangnya 0.4 ekar setiap seorang. Tanah yang ada milik orang tua kemungkinan tidak mengcukupi tambahan pula dengan bilangan adik beradik yang ramai.

Dengan wujudnya projek pembesaran kampung, masalah ini boleh diselesaikan. Sebuah kawasan baharu akan dibuka dan ini dapat memberikan peluang kepada lebih ramai anak-anak muda untuk memiliki tanah setidak-tidaknya untuk kawasan perumahan. Bagi yang mampu boleh membinanya sendiri dan bagi yang kurang mampu boleh memohon rumah melalui Projek Rumah Mesra Rakyat.

Malahan pihak kerajaan juga boleh memikirkan pembinaan rumah-rumah kos rendah di kawasan yang diwartakan di sesebuah kampung melalui Projek Rumah Mesra Rakyat bagi lebih memudahkan
penduduk kampung terutama generasi muda memiliki rumah. Melalui usaha seperti ini, pemohon-pemohon akan membuat cabutan undi untuk menentukan lot masing-masing dan syarat-syaratnya termasuk bayaran bulanannya sebagaimana pemohon individu Projek Rumah Mesra Rakyat yang lain.

Sebagai satu keperluan yang sentiasa disuarakan oleh anak-anak muda di kampung, inilah cadangan yang difikirkan paling baik untuk setiap rakyat memiliki kediaman sendiri dengan lebih mudah dan selesa. Bukan sahaja sebuah rumah tetapi dengan kawasan yang ada, dapat juga bercucuk tanam seperti rumah-rumah di kawasan Felda.