Selamat datang ke desaku.
Something you might want to know about us.
Don't be hesitated to contact us if you have something to say.

Salam Pengenalan

Assalamualaikum...

Salam pengenalan dan selamat bertemu. Baru di kesempatan ini saya dapat bersama-sama mengambil bahagian untuk dikongsi bersama. Saya ni orang kampung, jadi kisah dan cerita saya lebih tertumpu di kawasan kampung terutama di kawasan Kuala Krau, Pahang. Banyak yang boleh diceritakan terutama soal-soal pembangunan, peluang ekonomi, masalah-masalah, isu-isu semasa serta perancangan dan potensi kampung. Semua kampung ingin maju dan berjaya, penduduknya dapat meningkatkan pendapatan ekonomi, keadaannya aman dan sejahtera, persekitarannya bersih, ceria dan indah serta udaranya bersih dan nyaman. Inilah yang dinamakan sebagai Desa Impian ataupun Desa Wawasan.

| 0 comments | Saturday, December 17, 2011
|

Bagi sesebuah kampung tradisional, Projek Rancangan Pembesaran Kampung (RPK) adalah sangat-sangat diperlukan kerana kawasan kampung sedia ada tidak lagi dapat menampung pertambahan penduduk terutama golongan muda samada generasi kedua ataupun ketiga bergantung kepada usia sesebuah kampung. Golongan ini yang tidak mempunyai tapak rumah serta tanah untuk bercucuk-tanam memerlukan sebuah kawasan berhampiran kampung bagi membina penempatan yang baru.

Setiap kepimpinan kampung perlu membincangkan perkara ini di samping mengenalpasti lokasi yang sesuai untuk dimajukan kepada pihak kerajaan negeri. Kebiasaannya, cadangan bagi tapak rumah dan pertanian ini adalah seluas 1 ekar seorang ataupun sekiranya tidak mengcukupi, sekadar setengah ekar seorang.

Harapan yang tinggi daripada golongan ini perlu diberi perhatian kerana mereka tidak boleh lagi bergantung kepada tanah ibu bapa yang semakin mengecil. Usaha-usaha ini diharap dapat memberi penyelesaian kepada mereka samada menetap terus di kampung akan memberi jaminan masa depan yang lebih baik.

| 0 comments | Friday, December 16, 2011
|

Sewaktu musim tengkujuh, kawasan mula-mula dinaiki air di Pekan Kuala Krau adalah di kawasan tapak pekan sehari Kuala Krau. Kedudukannya yang terletak di kawasan yang rendah berhampiran kuala Sungai Krau menyebabkan ianya mudah dinaiki air sekiranya paras air Sungai Krau serta Sungai Pahang naik.

Apabila keadaan ini berlaku, terpaksalah pekan sehari serta pasar malam dipindahkan ke kawasan pekan Kuala Krau yang menyebabkan keadaan menjadi begitu sesak tambahan di musim cuti sekolah ini. Jalan di tengah pekan telah ditutup dengan gerai-gerai jualan hinggakan menimbulkan kesulitan orang ramai untuk berurusan.

Sebagai sebuah pekan yang terhimpit di antara Sungai Pahang dengan laluan keretapi, tidak ada lagi tapak yang lebih sesuai untuk tapak pekan sehari yang baru. Kawasan yang sedia ada sudah begitu sesuai cuma perlu ditambak tinggi bagi mengelakkannya daripada berlaku banjir kilat.

Walaupun kos menambaknya agak tinggi tetapi ianya berpatutan dengan sebuah pekan yang mula pesat membangun. Sejak terbinanya Jambatan Kuala Krau sebelum ini, Pekan Kuala Krau telah menjadi agak sibuk serta begitu pesat pembangunannya.

| 0 comments | Thursday, December 15, 2011
|

Pemasangan paip air di Perkampungan Orang Asli Kg. Lubok Wong, Kg. Pian serta Kg. Kuala Terboi yang terletak di kawasan pendalaman di Dun Jenderak melegakan penduduk di perkampungan tersebut yang berjumlah hampir 1000 orang. Penduduk amat mengharapkan bekalan tersebut dapat sampai ke rumah selewat-lewatnya pada awal tahun hadapan nanti.

Selama ini mereka menggunakan bekalan air bukit yang disalurkan melalui projek yang dilaksanakan oleh Pejabat Kesihatan. Setelah sekian lama digunakan, paip tersebut telah mula uzur serta pecah di sana sini termasuk juga telah tersumbat dengan tanah dan batu. Apabila masalah ini berlaku, terpaksalah juga mereka menggunakan air sungai yang terletak berhampiran.

Setelah siap kerja-kerja pemasangan paip besar, kerja-kerja pemasangan paip ke rumah-rumah pula akan dilakukan. Kebiasaannya kos pemasangan ke rumah-rumah ini ditanggung oleh tuan rumah tetapi bagi kes Orang Asli, terpaksalah Wakil Rakyat berusaha mendapatkan peruntukan bagi menanggung keseluruhan kos termasuk bayaran deposit. Cuma bagi masyarakat Orang Asli di perkampungan tersebut, bekalan air nanti tidak lagi percuma tetapi perlu membayar sendiri bil air masing-masing.

| 0 comments |
|

Masalah bekalan air yang kerapkali terganggu di beberapa buah kampung di kawasan sekitar Kuala Krau baru-baru ini telah memberikan kesulitan kepada penduduk kampung terutama di musim cuti sekolah ini terutama bagi yang mengadakan majlis kenduri-kendara. Ini disebabkan oleh keadaan paip besar yang kerapkali pecah disebabkan telah terlalu uzur serta tidak tahan lagi untuk menampung tekanan air yang kuat.

Apabila keadaan ini berlaku, pihak JBA hanya membaiki di tempat yang pecah sahaja dan selang beberapa hari kemudian, tempat lain pula yang pecah. Keadaan menjadi bertambah teruk lagi apabila kerja-kerja membaiki lewat dilaksanakan hingga penduduk kampung terputus bekalan air sehingga beberapa hari.

Keadaan yang berterusan serta tidak menentu ini perlu dipulihkan hanya dengan menukar batang paip yang lama kepada yang baru. Dengan pertambahan rumah-rumah baru yang didirikan, tentu sahaja paip baru diperlukan bagi menampung tekanan air yang lebih kuat.