Selamat datang ke desaku.
Something you might want to know about us.
Don't be hesitated to contact us if you have something to say.

Salam Pengenalan

Assalamualaikum...

Salam pengenalan dan selamat bertemu. Baru di kesempatan ini saya dapat bersama-sama mengambil bahagian untuk dikongsi bersama. Saya ni orang kampung, jadi kisah dan cerita saya lebih tertumpu di kawasan kampung terutama di kawasan Kuala Krau, Pahang. Banyak yang boleh diceritakan terutama soal-soal pembangunan, peluang ekonomi, masalah-masalah, isu-isu semasa serta perancangan dan potensi kampung. Semua kampung ingin maju dan berjaya, penduduknya dapat meningkatkan pendapatan ekonomi, keadaannya aman dan sejahtera, persekitarannya bersih, ceria dan indah serta udaranya bersih dan nyaman. Inilah yang dinamakan sebagai Desa Impian ataupun Desa Wawasan.

Konflik Kepimpinan Di Desa

| 0 comments | Monday, December 21, 2009
|

Baru-baru ini, semua ketua-ketua kampung telah tamat tempoh perkhidmatannya dan perlu dicalonkan semula untuk penggal yang akan datang. Ada sesetengah ketua kampung tidak ada masalah yang besar, asalkan boleh buat kerja, masyarakat kampung akan menerimanya walaupun umur telah lanjut. Ada sesetengah yang lain pula terpaksa menempuh berbagai-bagai halangan serta rintangan untuk dicalonkan semula.

Terdapat juga beberapa buah kampung begitu sukar untuk memilih ketua kerana mempunyai ramai calon yang berpotensi. Masing-masing melobi kepada pihak yang berkuasa agar dipilih hinggakan terdapat ura-ura bagi mengadakan pilihanraya bagi memilih ketua di sesuatu kampung.

Pilihan yang terbaik yang dilaksanakan sebelum ini ialah dengan melantik calon yang popular serta secara majoriti disukai oleh penduduk kampung. Pemilihan secara pilihanraya, walaupun dianggap demokrasi tetapi boleh memecahbelahkan masyarakat kampung terutama sewaktu menjalankan kempen masing-masing.

Sebenarnya, masalah ini timbul apabila ramai yang berebut-rebut mahu menjadi ketua. Apabila merasakan mereka layak dipilih, mulalah mengecil-gecilkan kebolehan calon lain sehingga hangat diperbincangkan. Riuh rendah di kampung gara-gara memilih ketua kampung ini.

Konflik ini tidak boleh dibiarkan berterusan kerana ianya akan melemahkan kampung itu sendiri. Sepatutnya, sesiapa jua yang telah dilantik oleh pihak berkuasa berdasarkan kriteria tertentu, masyarakat kampung perlu menerimanya tanpa pertikaian lagi.

Kehidupan di kampung, yang masyarakatnya hidup dengan aman damai, bersatu padu serta saling bermuafakat di antara satu sama lain perlu diteruskan kerana ianya telah menjadi budaya kita sejak sekian lama. Tanggungjawab memelihara dan memajukan kampung bukan terletak di tangan ketua sahaja tetapi kita semua sebagai sebuah masyarakat kampung.

Program Bumi Hijau Di Desa

| 0 comments | Sunday, December 20, 2009
|

Baru-baru ini, pihak Jabatan Pertanian telah menganjurkan Kursus Bumi Hijau di beberapa buah kampung di sini. Tujuannya adalah untuk menggalakkan penduduk kampung mengusahakan semula tanaman sayur-sayuran sebagaimana orang-orang tua dahulu yang rajin bercucuk-tanam di sekeliling rumah. Peserta yang hadir telah diberikan penerangan secukupnya serta telah didaftarkan untuk menerima sedikit sumbangan berupa benih dan baja sebagai modal permulaan.

Konsep yang diperkenalkan adalah menanam sayur-sayuran di dalam polibag yang tidak memerlukan kawasan yang luas serta modal yang besar. Hanya susun sahaja polibag yang berisi tanah berbaja di tepi-tepi rumah walaupun kawasan yang ada telah disimen atau telah diturap tar. Setelah siap disusun, barulah kita semai benih-benih sayuran yang kita mahukan.

Semenjak program ini diperkenalkan, ramailah penduduk-penduduk kampung ingin mencuba apatah lagi bila melihat jiran-jiran sebelah rumah telah dapat menikmati hasilnya. Masing-masing mengikut kemampuan, setidak-tidaknya lepas untuk makan sendiri.

Pada masa ini, keadaan landskap kawasan rumah juga telah banyak berubah. Penduduk kampung telah menyambut baik program ini sehinggakan di setiap penjuru kawasan rumah telah dipenuhi dengan polibag-polibag yang menghijau dengan hasil-hasil tanaman.

Dalam keadaan ekonomi sekarang, inilah masa untuk kita memulakanya, kalau tidak mampu, usahakan sedikit-sedikit sahaja, jadi tidak semualah kena beli di pasar. Masa lapang di sebelah petang juga akan dapat diisi dengan perkara-perkara yang mendatangkan faedah, tidaklah duduk-duduk sahaja ataupun pusing-pusing kampung ke hulu ke hilir.

Peluang Anak Desa Di Bidang Keusahawanan

| 0 comments | Thursday, December 17, 2009
|

Golongan muda di desa perlu merebut peluang untuk menceburkan diri di dalam bidang keusahawanan. Kadang-kadang kita merasakan tinggal di desa, seperti tidak ada masa depan tambahan pula hasil yang diperolehi melalui kerja-kerja kampung tidak seberapa. Tiba masanya untuk kita berfikiran positif sebelum peluang tersebut terlepas begitu sahaja. Banyak peluang-peluang yang boleh diceburi asalkan bersesuaian dengan minat dan kebolehan kita serta diusahakan dengan bersungguh-sungguh.

Bagi melengkapkan kebolehan dan kemahiran kita di dalam sesuatu bidang yang ingin diceburi, kerajaan melalui beberapa agensi seperti Risda, telah menyediakan banyak peluang-peluang kursus terutama di bidang pertanian, ternakan serta pengeluaran makanan. Rajin-rajinlah ke pejabat tertentu untuk mendapatkan maklumat selanjutnya.

Peluang-peluang pinjaman juga banyak disediakan seperti Tekun, Mara dan lain-lain institusi kewangan. Berjumpalah dengan pegawai-pegawai berkenaan bagi mendapatkan pandangan serta syarat-syarat yang perlu dipatuhi.

Memandangkan kawasan kita telah semakin maju, penduduknya juga makin hari makin bertambah, inilah peluang yang terbaik untuk menceburkan diri. Sudah pasti kita memerlukan lebih banyak usahawan bagi merancakkan lagi ekonomi di kawasan kita.

Tanah Di Desa Makin Mengecil

| 0 comments | Sunday, December 13, 2009
|

Di desa sekarang ini amat kurang terdapat tanah-tanah kerajaan yang kosong. Kebanyakannya telah diterokai oleh orang-orang terdahulu, kalau ada yang lainpun telah dirizabkan seperti rizab perhilitan dan juga rizab perhutanan.

Orang muda di kampung selalu merungut kerana tidak ada lagi projek pembesaran kampung, yang ada hanyalah tanah orang tua sahaja itupun tidak mencukupi sekiranya mempunyai keluarga yang ramai. Nak memohon menjadi peserta felcra atau peserta tanah kelompokpun susah, tanahnya tak banyak dan yang memohon pula ramai.

Oleh itu, pilihan yang ada ialah manfaatkan sepenuhnya tanah-tanah hakmilik yang ada samada hak sendiri atau orang tua. Gunakan setiap inci tanah tersebut dengan tanaman-tanaman yang boleh mendatangkan hasil. Kaum lain boleh hidup senang hanya dengan mengusahakan 1 atau 2 ekar tanah sahaja tetapi perlu dibuat dengan sepenuh masa serta memberikan tumpuan sepenuhnya.

Pemikiran orang muda di kampung perlu berubah kerana pertanian sekarang merupakan satu perniagaan. Tidak perlu lagi tanah-tanah yang luas untuk tanaman getah dan sawit kerana tanahnyapun memang dah tak ada. Daripada dibiarkan tanah-tanah di belakang rumah serta dusun-dusun yang tidak mendatangkan hasil, cuba ikhtiarkan dengan mengusahakan tanaman-tanaman jangka pendek yang boleh mendatangkan keuntungan sekiranya diusahakan dengan bersungguh-sungguh.