Selamat datang ke desaku.
Something you might want to know about us.
Don't be hesitated to contact us if you have something to say.

Salam Pengenalan

Assalamualaikum...

Salam pengenalan dan selamat bertemu. Baru di kesempatan ini saya dapat bersama-sama mengambil bahagian untuk dikongsi bersama. Saya ni orang kampung, jadi kisah dan cerita saya lebih tertumpu di kawasan kampung terutama di kawasan Kuala Krau, Pahang. Banyak yang boleh diceritakan terutama soal-soal pembangunan, peluang ekonomi, masalah-masalah, isu-isu semasa serta perancangan dan potensi kampung. Semua kampung ingin maju dan berjaya, penduduknya dapat meningkatkan pendapatan ekonomi, keadaannya aman dan sejahtera, persekitarannya bersih, ceria dan indah serta udaranya bersih dan nyaman. Inilah yang dinamakan sebagai Desa Impian ataupun Desa Wawasan.

Kemajuan Sesebuah Kampung

| 0 comments | Wednesday, December 8, 2010
|

Kemajuan sesebuah kampung biasanya diukur dari segi pencapaian ekonomi penduduknya serta segala kemudahan yang disediakan. Sekiranya semua penduduknya berpendapatan tinggi, sudah tentu mereka mempunyai rumah-rumah yang besar dan cantik serta halaman yang indah dan bersih. Sebaliknya, sekiranya kebanyakan penduduknya berpendapatan rendah, sudah tentu rumah yang didiami hanya rumah biasa yang tidak menampakkan sangat keceriaannya.

Dengan pendapatan penduduk-penduduk kampung khususnya pekebun kecil getah dan sawit yang berada di paras tertinggi, membolehkan kampung-kampung mula berubah wajah. Kebanyakan rumah-rumah lama diganti dengan yang baru manakala yang kecil diperbesarkan. Sudah tentu juga dengan rumah yang baru, halamannya juga dibersihkan dan dihiasi dengan tanam-tanaman yang menampakkan keindahannya.

Perubahan yang amat ketara inilah yang menjadikan kebanyakan kampung telah berubah wajah menjadi sebuah kampung yang lebih indah dan ceria. Inilah sebenarnya kayu pengukur kemajuan sesebuah kampung yang seharusnya kita bersyukur dan berterima kasih.

Penerokaan Tanah Secara Haram

| 0 comments | Monday, December 6, 2010
|

Di kampung-kampung kebelakangan ini, boleh dikatakan tidak ada lagi tanah-tanah kosong kerajaan yang tinggal. Kalau adapun hanyalah tanah-tanah yang dirizabkan seperti rizab hutan simpan dan juga rizab perhilitan. Semuanya telah diterokai secara haram oleh segelintir penduduk kampung malahan rizab sungaipun habis dibersihkan.

Inilah yang menjadi masalah kepada kepimpinan kampung bagi mencadangkannya sebagai projek tanah kelompok ataupun projek pembesaran kampung yang boleh diagih-agihkan kawasan tanah tersebut secara adil kepada penduduk kampung terutama golongan muda serta yang tidak mempunyai tanah.

Pernah kawasan-kawasan yang dicadangkan sebagai sesuatu projek untuk penduduk kampung seperti tanah kelompok dan Felcra dibatalkan setelah didapati kawasan tanah tersebut sebahagian besarnya telah diterokai. Walaupun ramai penduduk kampung tidak puas hati dan membuat bantahan, namun kawasan tersebut tetap dimenangi oleh yang meneroka walaupun secara haram.

Akibat daripada keadaan tersebut, banyaklah lagi kawasan-kawasan tanah yang diterokai kerana mereka berpendapat inilah satu-satunya peluang untuk memiliki tanah. Kalau memohon di Pejabat Tanah sekalipun belum tentu mendapat kelulusan malahan prosesnya memakan masa puluhan tahun. Oleh itu, inilah cara yang diamalkan, siapa cepat dia dapat.

Walaubagaimanapun, perkara ini tidak menyelesaikan masalah kepada penduduk kampung yang masih tidak memiliki tanah. Hanya yang berani serta berkemampuan sahaja yang boleh meneroka tanah malahan golongan ini tidak pernah cukup dengan tanah yang mereka terokai, kalau boleh hingga ratusan ekar.

Masalah ini berlaku kemungkinan disebabkan oleh longgarnya undang-undang meneroka tanah secara haram. Jarang-jarang sekali kita mendengar orang yang meneroka tanah secara haram didakwa di mahkamah apatah lagi dihukum penjara. Kalau adapun kesudahannya diselesaikan begitu sahaja dan tanah yang diterokai tetap boleh diusahakan.

Sudah sampai masanya, undang-undang yang lebih tegas serta lebih berat dilaksanakan agar orang ramai berasa takut untuk menerokai tanah sesuka hati. Kawasan-kawasan yang diterokai perlu dikosongkan jika tidak akan menghadapi undang-undang yang berat termasuk dihukum penjara. Jangan difikirkan ketidakpuasan hati mereka tetapi perlu difikirkan nasib lebih ramai lagi golongan yang tidak mempunyai tanah serta nasib golongan muda.