Selamat datang ke desaku.
Something you might want to know about us.
Don't be hesitated to contact us if you have something to say.

Salam Pengenalan

Assalamualaikum...

Salam pengenalan dan selamat bertemu. Baru di kesempatan ini saya dapat bersama-sama mengambil bahagian untuk dikongsi bersama. Saya ni orang kampung, jadi kisah dan cerita saya lebih tertumpu di kawasan kampung terutama di kawasan Kuala Krau, Pahang. Banyak yang boleh diceritakan terutama soal-soal pembangunan, peluang ekonomi, masalah-masalah, isu-isu semasa serta perancangan dan potensi kampung. Semua kampung ingin maju dan berjaya, penduduknya dapat meningkatkan pendapatan ekonomi, keadaannya aman dan sejahtera, persekitarannya bersih, ceria dan indah serta udaranya bersih dan nyaman. Inilah yang dinamakan sebagai Desa Impian ataupun Desa Wawasan.

Masalah Remaja Desa

| 0 comments | Sunday, January 31, 2010
|

Remaja di desa tidak terlepas daripada masalah-masalah sosial seperti menghisap rokok, meminum arak, melepak di tepi-tepi jalan, merempit, pergaulan bebas dan yang paling teruk terlibat dengan penyalahgunaan dadah. Apa-apa sahaja budaya yang tidak sihat daripada luar menjadi ikutan seolah-olah sebagai satu trend remaja masa kini.

Bagi menangani permasalahan ini, semua pihak perlu memainkan peranan terutama ibubapa sendiri yang perlu menunjukkan ketegasan di dalam mendidik anak-anak. Ibubapa tidak boleh lagi membiarkan anak-anak keluar sesuka hati di samping sentiasa memantau pergerakan anak-anak. Ketegasan di dalam perkara ini amat perlu agar anak-anak lebih menghormati ibubapa serta takut untuk melakukan perkara-perkara yang tidak baik.

Kepimpinan di peringkat kampung juga perlu memainkan peranan yang besar serta menjadi agenda utama di dalam membimbing remaja-remaja. Program serta aktiviti berterusan perlu diadakan sesuai dengan kehendak dan minat agar remaja-remaja mendapati diri mereka sentiasa diberikan perhatian serta masa yang terluang dapat diisi sepenuhnya.

Pihak Jawatankuasa Masjid dan Surau perlu mengatur program-program agama yang lebih khusus kepada kumpulan remaja di samping Persatuan Belia sendiri perlu memainkan peranan penting didalam menentukan halatuju remaja-remaja.

Usaha-usaha yang lebih gigih akan menjadikan remaja-remaja bersih daripada kegiatan-kegiatan tidak sihat dan seterusnya akan mewujudkan sebuah masyarakat yang harmoni dan kampung itu sendiri menjadi sebuah kampung yang selamat dan selesa untuk didiami.

Kemiskinan Sifar Di Desa

| 0 comments | Tuesday, January 12, 2010
|

Di kampung-kampung, kemiskinan biasanya dikaitkan dengan mereka yang tidak mempunyai harta, tidak mempunyai kebun getah atau sawit yang luas, yang bekerja sebagai penoreh getah pajak dengan pendapatan yang tidak seberapa serta yang bekerja sebagai buruh dengan pendapatan yang kecil.

Selain daripada itu, kemiskinan juga dikaitkan dengan mereka yang mempunyai tanggungan yang ramai terutama yang masih bersekolah, ibu-ibu tunggal yang ditinggalkan tanpa harta dan pencen serta mereka yang sakit terlantar dan orang-orang yang kurang upaya.

Bagi meringankan bebanan golongan ini, kerajaan telah mengadakan beberapa program khususnya Jabatan Kebajikan Masyarakat dengan Projek Carinya serta melalui Pejabat Daerah yang menyenaraikan Peserta E-Kasih yang terdiri daripada golongan miskin tegar, golongan miskin serta golongan mudah miskin di setiap Kawasan Dewan Undangan Negeri.

Wakil-Wakil Rakyat juga di setiap perjumpaan telah menekankan perkara ini kepada semua pemimpin-pemimpin masyarakat agar mengenalpasti golongan ini dan seterusnya membantu mengisi borang-borang permohonan untuk disalurkan kepada pihak yang berkenaan. Seboleh-bolehnya melalui program yang diadakan ini, tidak ada lagi yang terlepas pandang dengan semua yang difikirkan layak mengemukakan permohonan.

Melalui Projek Cari contohnya, ramai daripada golongan miskin, sakit terlantar, warga emas, anak yatim serta orang kurang upaya telah menerima sumbangan wang tunai pada setiap bulan manakala bagi Peserta E-Kasih akan dibuat siasatan mengikut keperluan setiap golongan samada bagi membina rumah PPRT, mengadakan projek-projek ekonomi ataupun lain-lain sumbangan yang difikirkan perlu.

Selain daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Pejabat Daerah, agensi serta jabatan kerajaan yang lain seperti Pusat Zakat, Kemas, Risda dan lain-lain jabatan kerajaan juga banyak membantu bagi meringankan bebanan golongan-golongan ini sehinggakan tidak ada lagi golongan yang langsung tidak diberikan pembelaan. Ini tidak termasuk lagi bantuan-bantuan yang disalurkan kepada pelajar-pelajar miskin dari sekolah rendah, menengah hinggalah kepada pengajian tinggi.

Sebenarnya, usaha-usaha pihak kerajaan bagi membasmi kemiskinan telah wujud sejak tahun 70an lagi dengan pembukaan begitu banyak rancangan tanah Felda dan selepas itu diwujudkan pula rancangan tanah Felcra. Maka, ramailah orang-orang kampung telah berpindah ke Felda bagi memulakan penghidupan baru serta selepas itu, makin ramai pula orang-orang kampung yang berasa agak selesa kerana dipilih sebagai Peserta Felcra.

Pada masa ini, tanah tidak ada yang luas lagi, maka tidak adalah lagi Felda ataupun Felcra. Namun kerajaan akan terus membela golongan-golongan ini dan kita sebagai warga desa, yang sedikit sebanyak mendapat pembelaan haruslah berterima kasih serta mensyukuri nikmat yang telah diberikan.

Perancangan Kampung Melalui Pelan Tindakan Desa

| 0 comments | Friday, January 1, 2010
|

Setiap kampung perlu mempunyai pelan tindakan desanya sendiri bagi membolehkan perancangan pembangunan yang lebih lengkap, teratur dan berkesan. Di samping itu, ianya bagi mempastikan halatuju sesebuah kampung ke arah peningkatan yang lebih baik dan seterusnya mewujudkan sebuah kampung yang maju dan berjaya.

Pelan Tindakan Desa merupakan satu perancangan yang dibuat di dalam sesuatu tempoh masa yang pendek, sebagai contoh 3 tahun, yang mengandungi segala program, cadangan serta projek-projek pembangunan bagi sesebuah kampung itu.

Pengisian Pelan Tindakan Desa perlu meliputi maklumat-maklumat asas atau profil kampung yang terdiri daripada sejarah kampung, peta atau pelan lokasi, jumlah kegunaan tanah, agihan pendapatan, kemudahan awam dan infrastruktur, aktiviti kemasyarakatan, aktiviti ekonomi, pencapaian kampung, masalah yang wujud, potensi atau kelebihan kampung serta wawasan dan objektif pembangunan sesebuah kampung itu.

Kepimpinan di sesebuah kampung perlu menggerakkan kampungnya mengikut perancangan yang telah ditetapkan berdasarkan kepada kelemahan atau kekurangan serta kelebihan atau potensi kampung itu sendiri. Setiap kelemahan atau kekurangan perlu ada usaha-usaha ke arah jalan penyelesaiannya manakala setiap potensi atau kelebihan kampung perlu dieksploitasikan terutama di dalam meningkatkan ekonomi penduduk-penduduk kampung.

Dengan adanya perancangan yang kemas dan teratur, setiap kampung akan mempunyai wawasannya sendiri ke arah mewujudkan sebuah kampung yang lebih baik, maju dan berjaya sesuai dengan slogannya "Komuniti Berdaya Desa Berjaya".