Selamat datang ke desaku.
Something you might want to know about us.
Don't be hesitated to contact us if you have something to say.

Salam Pengenalan

Assalamualaikum...

Salam pengenalan dan selamat bertemu. Baru di kesempatan ini saya dapat bersama-sama mengambil bahagian untuk dikongsi bersama. Saya ni orang kampung, jadi kisah dan cerita saya lebih tertumpu di kawasan kampung terutama di kawasan Kuala Krau, Pahang. Banyak yang boleh diceritakan terutama soal-soal pembangunan, peluang ekonomi, masalah-masalah, isu-isu semasa serta perancangan dan potensi kampung. Semua kampung ingin maju dan berjaya, penduduknya dapat meningkatkan pendapatan ekonomi, keadaannya aman dan sejahtera, persekitarannya bersih, ceria dan indah serta udaranya bersih dan nyaman. Inilah yang dinamakan sebagai Desa Impian ataupun Desa Wawasan.

Ekonomi Belia Di Kampung

| 1 comments | Tuesday, July 29, 2014
|

Pertubuhan ataupun persatuan belia di kampung-kampung perlu mengadakan aktiviti-aktiviti seperti kursus dan program yang menjurus kepada minat belia di mana sesebuah persatuan itu diwujudkan. Pemimpinnya mesti faham kehendak dan arah tuju belia yang dipimpinnya samada beroleh kejayaan ataupun sebaliknya.

Kecenderungan belia di kampung-kampung lebih kepada bidang pertanian, penternakan dan keusahawanan. Bidang ini jika diusahakan dengan bersungguh-sungguh akan memberikan pulangan yang baik dan akan menjamin kehidupan di kampung. Oleh itu, persatuan belia di kampung perlu mengadakan aktiviti seperti kursus penternakan lembu dan kambing, ayam kampung, ikan air tawar, ikan sangkar dan sebagainya.

Pendedahan kepada bidang perniagaan kecil-kecilan seperti terbabit dalam perniagaan runcit, usahawan tani, peniaga pasar malam dan pasar tani perlu diwujudkan. Melalui perancangan yang baik, belia-belia di kampung akan dapat meningkatkan lagi ekonomi serta kesejahteraan hidup pada masa depan.

Ekonomi Penduduk Kampung

| 0 comments | Wednesday, July 16, 2014
|

Bagi sesebuah kampung terutama di kawasan pendalaman, asas ekonomi adalah bergantung kepada aktiviti pertanian, penternakan dan perikanan serta berasaskan perdagangan termasuk aktiviti perniagaan, industri kampung dan perkhidmatan.

Hampir 90% penduduk kampung menceburi sektor pertanian seperti tanaman kelapa sawit, getah dan kelapa di samping tanaman jangka pendek seperti pisang, tebu dan sayur-sayuran. Tanaman ini telah diusahakan samada secara persendirian ataupun secara berkelompok dan usaha-usaha inilah yang telah membantu meningkatkan ekonomi penduduk.

Penternakan juga tidak ketinggalan menjadi pilihan penduduk kampung untuk meningkatkan ekonomi mereka seperti penternakan lembu, kerbau, kambing dan ayam itik serta penternakan ikan air tawar. Sektor ini menjadi pilihan pada masa ini kerana sentiasa mendapat permintaan yang tinggi serta mudah untuk dipasarkan.

Bagi meningkatkan lagi pengeluaran, seharusnya pihak Jabatan Veterinar serta Jabatan Pertanian dapat memperluaskan peruntukan serta khidmat nasihat agar penduduk kampung dapat sepenuhnya bergantung kepada hasil pertanian dan penternakan.

Keselamatan Kampung

| 0 comments | Friday, July 11, 2014
|

Setiap JKKK perlu meningkatkan tahap keselamatan penduduk di kawasan masing-masing bagi mengelakkan kejadian yang tidak diingini berlaku. Keadaan sekarang sudah jauh berbeza ditambah pula dengan wujudnya penagih-penagih dadah, pendatang tanpa izin dan sebagainya dan ini menyebabkan berlaku kecurian kepada hasil-hasil pertanian seperti getah dan sawit, kecurian binatang ternakan dan yang paling membimbangkan adalah kes samun dan pecah rumah.

Sebelum ini , masalah tersebut amat kurang berlaku dan ini menyebabkan kebanyakan JKKK terlupa atau kurang memberi perhatian kepada meningkatkan tahap keselamatan kerana JKKK lebih menumpukan kepada pembangunan dan kemajuan kawasan pentadbiran masing-masing.

Sebagai mata dan telinga kerajaan, JKKK perlu melaporkan kepada pihak berkuasa berhubung kegiatan penyalahgunaan dadah, kemasukan pendatang tanpa izin dan sebagainya yang boleh mengancam keselamatan kampung dan juga negara.

Bagi menggerakkannya, JKKK perlu mendapatkan sokongan daripada masyarakat kampung di samping mempunyai jentera sendiri yang dapat menjalinkan kerjasama dengan agensi keselamatan termasuk pihak Polis, Rukun Tetangga dan juga Rela bagi memastikan tahap keselamatan di kampung sentiasa terkawal.



Program Ziarah

| 0 comments | Saturday, November 30, 2013
|

Program Ziarah yang kerapkali diatur untuk menziarahi warga emas yang sakit terlantar, pesakit kronik dan juga OKU telah dapat meninggalkan kesan yang mendalam kepada masyarakat di samping dapat menggembirakan pesakit termasuk ahli keluarga.

Kunjungan Ahli Yang Berhormat bersama-sama pemimpin setempat dapat merapatkan lagi hubungan silaturahim di dalam masyarakat di samping meringankan lagi bebanan dengan pemberian sumbangan berupa hamper dan wang tunai.

Program seperti ini perlu sentiasa diberi keutamaan dan masyarakat perlu sama-sama memberikan perhatian dan sokongan kerana usaha-usaha murni ini menjadi kewajipan masyarakat untuk saling bantu-membantu, kunjung-mengunjung serta bermurah hati menghulurkan bantuan.





Majlis Makan Malam Bersama Pemimpin

| 0 comments | Friday, November 29, 2013
|

Majlis Makan Malam Bersama Pemimpin yang dianjurkan oleh JKKK di dalam Dun Jenderak baru-baru ini telah mendapat sambutan yang sangat baik di kalangan Ahli-Ahli JKKK dan pemimpin-pemimpin masyarakat. YB. Ahli Parlimen Kuala Krau serta YB. Adun Jenderak tidak melepaskan peluang untuk bersama-sama di majlis yang julung-julung kali diadakan.

Setiap JKKK diminta membawa kesemua AJKnya di samping kehadiran pemimpin-pemimpin kaum Cina, India dan juga Orang Asli yang memenuhi setiap ruang di Dewan Bola Keranjang Kuala Krau pada malam tersebut. Kehadiran yang begitu ramai pada malam tersebut membuktikan kerjasama di kalangan pemimpin-pemimpin masyarakat begitu kuat di samping sokongan yang tidak berbelah bagi kepada kedua-dua Ahli Yang Berhormat.

Selain mendengar ucapan daripada kedua-dua Ahli Yang Berhormat, majlis juga diserikan oleh penyanyi-penyanyi yang dijemput dari setiap kampung selain hadiah-hadiah cabutan bertuah yang begitu banyak disediakan termasuk barangan-barangan elektrik.

Program pada malam itu telah meninggalkan kenangan manis kepada semua yang hadir betapa pemimpin-pemimpin, walaupun sekecil mana, tetapi sekali sekala perlu diberi penghargaan kerana merekalah pemimpin peringkat akar umbi yang selama ini memberikan khidmat secara ikhlas dan sentiasa menjadi pendokong kuat pihak kerajaan.




Harapan Belia

| 0 comments | Thursday, November 28, 2013
|

Golongan belia terutama yang tinggal di kampung-kampung, perlu berfikiran lebih matang di samping mempunyai semangat dan keberanian untuk menerokai sesuatu yang baru. Dengan berfikiran lebih jauh di dalam setiap bidang, termasuk ekonomi, sosial, politik dan sebagainya, di samping mengambil tahu perihal dalam dan luar negara, golongan belia dapat menilai sesuatu agenda tersebut dengan lebih matang.

Kesedaran bagi merebut peluang-peluang memiliki ilmu pengetahuan serta kemahiran perlu diberi keutamaan kerana pada masa hadapan, keadaannya dilihat semakin mencabar. Segala ilmu pengetahuan dan kemahiran yang dimiliki dapat dimanfaatkan untuk meningkatkan diri di samping mempunyai pemikiran yang luas serta berpandangan jauh.

Dengan matlamat yang jelas dalam mengenali erti kehidupan, golongan belia diharapkan akan berusaha lebih gigih untuk mencapai kejayaan. Walaupun tinggal di kampung-kampung, ianya tidak menjadi penghalang untuk menjadi seorang yang berjaya, kerana yang pentingnya perlu berusaha kuat untuk mencapai cita-cita dan impian di samping lebih kreatif dan inovatif untuk bersaing merebut peluang-peluang yang ada.

Kampung yang cemerlang dan harmoni

| 0 comments | Thursday, November 21, 2013
|

Kampung yang cemerlang dan harmoni menjadi idaman bagi masyarakat setempat. Bagi merealisasikannya, bukan hanya terletak kepada kepimpinan kampung, tetapi juga menjadi tanggungjawab masyarakat untuk sama-sama berusaha  agar ianya menjadi sebuah kampung yang masyarakatnya sentiasa bekerjasama, berusaha gigih meningkatkan ekonomi, menjaga keselamatan serta menjadikannya sebuah kampung yang ceria, indah dan bersih.

Bagi kepimpinan kampung, hal ehwal pentadbiran kampung perlu diberi keutamaan  di samping melaksanakan program-program yang dapat meningkatkan kefahaman penduduk, meningkatkan produk-produk kampung di samping membuat perancangan halatuju sesebuah kampung itu.

Berbagai-bagai program yang perlu dilaksanakan merangkumi aspek keagamaan, keselamatan, kebajikan dan kemasyarakatan, sukan dan kebudayaan, ekonomi, pendidikan serta aspek keceriaan, keindahan dan kebersihan kampung. Sekiranya dapat dilaksanakan, ianya akan dapat melahirkan masyarakat yang harmoni, bersatupadu, berdisiplin, produktif dan kreatif.