Selamat datang ke desaku.
Something you might want to know about us.
Don't be hesitated to contact us if you have something to say.

Salam Pengenalan

Assalamualaikum...

Salam pengenalan dan selamat bertemu. Baru di kesempatan ini saya dapat bersama-sama mengambil bahagian untuk dikongsi bersama. Saya ni orang kampung, jadi kisah dan cerita saya lebih tertumpu di kawasan kampung terutama di kawasan Kuala Krau, Pahang. Banyak yang boleh diceritakan terutama soal-soal pembangunan, peluang ekonomi, masalah-masalah, isu-isu semasa serta perancangan dan potensi kampung. Semua kampung ingin maju dan berjaya, penduduknya dapat meningkatkan pendapatan ekonomi, keadaannya aman dan sejahtera, persekitarannya bersih, ceria dan indah serta udaranya bersih dan nyaman. Inilah yang dinamakan sebagai Desa Impian ataupun Desa Wawasan.

Pemulihan Tanah Paya Terbiar

| 0 comments | Tuesday, August 9, 2011
|


Bagi kampung-kampung tradisional, kebanyakannya diwujudkan kerana terdapat kawasan-kawasan tanah paya yang luas. Pada masa dahulu, penanaman padi merupakan aktiviti pertanian yang utama dan mana-mana kawasan yang terdapat tanah paya, akan dibuka dan seterusnya menjadi sebuah perkampungan walaupun ianya terletak di kawasan pendalaman.

Sehinggalah ke tahun 1980an, penanaman padi tidak lagi diusahakan di kebanyakan kampung kerana getah telah menjadi sumber pendapatan utama di samping anak-anak muda pada waktu itu tidak lagi berminat untuk membantu mengusahakan tanaman padi.

Di beberapa kampung, kawasan tersebut telah dimajukan oleh Felcra dengan tanaman kelapa sawit dan di kampung-kampung lain, kawasan tersebut terus terbiar hingga ke hari ini. Penduduk kampung pernah berfikir untuk mengusahakan tanaman kelapa sawit tetapi di kawasan tanah paya, kosnya agak tinggi.

Pihak kerajaan melalui Jabatan Pertanian perlu mengkaji perkara ini kerana telah berlarutan begitu lama. Sekiranya pihak kerajaan menyalurkan peruntukan bagi membantu memajukan tanah paya terbiar ini sebagaimana yang telah dibuat pada satu masa dahulu, sudah tentu ramai penduduk kampung akan menikmati hasilnya.





Penghantaran Surat Terus Ke Rumah

| 0 comments | Wednesday, July 6, 2011
|

Di kampung, masalah yang berlaku ialah apabila pihak Pos Malaysia tidak dapat menghantar surat terus ke rumah-rumah. Surat-surat hanya diletakkan di tempat-tempat tumpuan seperti di kedai, di surau ataupun masjid dan ada juga diletakkan di rumah-rumah tertentu. Oleh kerana tidak semua diambil oleh tuan punya, surat-surat yang ada menjadi bertimbun hingga menjadi masalah pula bagi orang ramai untuk mengenalpasti surat masing-masing.

Perkara ini sering menjadi rungutan orang ramai kerana ada masanya surat-surat yang penting lambat sampai ke tangan dan ada masanya hilang begitu sahaja. Banyak kali berlaku masalah serta ada yang terlepas tawaran-tawaran tertentu akibat daripada kelewatan surat sampai ke rumah masing-masing.

Masalah di kampung pula kerana rumah tidak bernombor. Rumah-rumah pula secara berselerak, ada yang di seberang sungai, ada yang di seberang paya dan ada yang melalui lorong-lorong kecil yang tidak diberi nama.

Pihak kepimpinan di kampung kena mengambil tindakan bagi mengatasi masalah ini supaya pihak Pos Malaysia yang sebelum ini telahpun menaikkan kos penghantaran surat dapat menghantar surat terus ke rumah-rumah walaupun di kawasan pendalaman.

Bagi mengatasi perkara ini, pihak kepimpinan di kampung perlu memberikan nombor pada setiap rumah secara berturutan serta memberikan nama kepada jalan dan lorong. Untuk jangka panjang sekiranya nanti terdapat rumah-rumah baru, lot-lot tanah yang kosong terutama di jalan utama perlu juga diberikan nombor. Nombor-nombot lot di dalam geran tanah juga boleh digunakan, terpulang kepada kesesuaian di kampung masing-masing.

Geran Tanah Di Perkampungan Orang Asli

| 0 comments | Sunday, June 26, 2011
|

Kebanyakan Perkampungan Orang Asli terletak di pendalaman termasuk meliputi kawasan-kawasan yang diwartakan oleh pihak kerajaan sebagai rizab perhutanan ataupun rizab perhilitan. Penduduk di sini telah menjadikan hasil pertanian terutama getah dan sawit sebagai pendapatan utama selain daripada penanaman padi untuk kegunaan sendiri.

Oleh itu, banyaklah kawasan-kawasan yang dibuka di pinggir kampung hingga meliputi kawasan yang telahpun dirizabkan sebagai rizab perhutanan dan perhilitan telah dijayakan dengan tanaman sawit dan getah.

Selama ini, penduduk Orang Asli tidak memikirkan perlunya ada geran tanah kerana mereka bebas mengusahakan tanah seberapa banyak yang mereka mahu. Tidak ada orang luar yang datang menceroboh dan pihak kerajaan tidak pernah mengambil sebarang tindakan walaupun tanah yang diusahakan termasuk di dalam kawasan rizab yang tidak boleh dicerobohi.

Namun, perkara ini telah menjadi modal pembangkang yang menggunakan isu ini bagi menarik sokongan Orang Asli. Mereka menjanjikan semua tanah-tanah di Perkampungan Orang Asli akan diberikan geran hakmilik sekiranya mereka memerintah nanti.

Pihak kerajaan juga telah mengkaji perkara ini dan sedang dalam proses untuk memberikan geran tanah kepada lot-lot rumah dan pertanian. Pemberian ini perlu dilakukan secara adil dan samarata supaya semua penduduk mendapat haknya termasuk golongan muda. Walaubagaimanapun, pemberian geran hakmilik ini ada baik dan buruknya. Mungkin selepas ini banyak tanah-tanah Orang Asli akan dijual termasuk kepada orang luar.

Pembangunan Di Perkampungan Orang Asli

| 0 comments | Monday, June 20, 2011
|

Di DUN Jenderak, terdapat sebanyak 10 buah perkampungan Orang Asli yang merupakan antara kawasan yang mempunyai ramai penduduk Orang Asli. Perkampungan tersebut terdiri daripada Kg. Penderas, Kg. Pasu, Kg. Lubok Wong, Kg. Pian, Kg. Kuala Terboi, Kg. Paya Mendoi, Kg. Seboi, Kg. Paya Rekoh, Kg. Berdut dan Kg. Paya Pelong yang kesemuanya berasal daripada suku kaum Jahut. Jumlah penduduknya hampir 5 ribu orang dan beberapa buah kampung seperti Kg. Penderas, Kg. Pasu, Kg. Pian dan Kg. Paya Pelong, penduduknya melebihi 500 orang.

Dari segi pembangunan, kampung-kampung ini setanding dengan kampung-kampung tradisional yang lain, cuma beberapa buah kampung yang terletak di kawasan pendalaman masih lagi belum menerima bekalan air bersih dan sebuah kampung yang masih lagi belum menerima bekalan elektrik. Walaubagaimanapun, masalah tersebut telah mula diatasi dan di dalam masa yang terdekat ini, semua kemudahan ini akan dapat dinikmati oleh penduduk kampung yang terlibat.

Bagi pembangunan ekonomi pula, hampir kesemua kampung telah diwujudkan Projek Tanam Semula Komersil (TSK) yang pesertanya terdiri daripada hampir kesemua jumlah ketua isi rumah di sesebuah kampung itu dan telah ada kampung yang telahpun menikmati dividen bulanannya. Program seperti ini telah dapat meningkatkan pendapatan di samping dapat mengeluarkan masyarakat Orang Asli daripada belenggu kemiskinan.

Masyarakat Orang Asli sepatutnya bersyukur dan berterima kasih kerana kerajaan sentiasa mengambil berat segala permasalahan mereka. Peruntukan yang besar telah disalurkan bagi mewujudkan rumah-rumah PPRT, kemudahan pembelajaran dan kebajikan mereka. Pembelaan yang berterusan ini bagi memastikan masyarakat Orang Asli dapat berubah agar tidak terus ketinggalan berbanding kaum-kaum yang lain.

Tuduhan Melampau Terhadap Dato' Seri Rais Yatim

| 0 comments | Thursday, January 6, 2011
|

Tuduhan terhadap Dato' Seri Rais Yatim yang telah merogol amahnya yang berasal dari Indonesia empat tahun dahulu mengemparkan kedua-dua buah negara. Cerita-cerita seperti ini memang menarik perhatian orang ramai apatah lagi melibatkan seorang menteri yang senior tetapi yang menjadi persoalannya, adakah tuduhan ini benar atau sengaja direka-reka.

Memang mudah kita menuduh seseorang, rekalah apa sahaja dan kemudian kita hebohkan kepada orang ramai. Orang kampungpun dapat menilai, jika sekiranya cerita ini benar, mengapa hanya sekarang didedahkan. Itupun berasaskan daripada sebuah catatan yang sesiapapun boleh buat.

Nampaknya perkara ini sengaja dimain-mainkan oleh golongan yang memang suka mencari pasal untuk memburuk-burukkan kerajaan. Kalau boleh semuanya nampak tidak baik di mata rakyat.

Kemajuan Sesebuah Kampung

| 0 comments | Wednesday, December 8, 2010
|

Kemajuan sesebuah kampung biasanya diukur dari segi pencapaian ekonomi penduduknya serta segala kemudahan yang disediakan. Sekiranya semua penduduknya berpendapatan tinggi, sudah tentu mereka mempunyai rumah-rumah yang besar dan cantik serta halaman yang indah dan bersih. Sebaliknya, sekiranya kebanyakan penduduknya berpendapatan rendah, sudah tentu rumah yang didiami hanya rumah biasa yang tidak menampakkan sangat keceriaannya.

Dengan pendapatan penduduk-penduduk kampung khususnya pekebun kecil getah dan sawit yang berada di paras tertinggi, membolehkan kampung-kampung mula berubah wajah. Kebanyakan rumah-rumah lama diganti dengan yang baru manakala yang kecil diperbesarkan. Sudah tentu juga dengan rumah yang baru, halamannya juga dibersihkan dan dihiasi dengan tanam-tanaman yang menampakkan keindahannya.

Perubahan yang amat ketara inilah yang menjadikan kebanyakan kampung telah berubah wajah menjadi sebuah kampung yang lebih indah dan ceria. Inilah sebenarnya kayu pengukur kemajuan sesebuah kampung yang seharusnya kita bersyukur dan berterima kasih.

Penerokaan Tanah Secara Haram

| 0 comments | Monday, December 6, 2010
|

Di kampung-kampung kebelakangan ini, boleh dikatakan tidak ada lagi tanah-tanah kosong kerajaan yang tinggal. Kalau adapun hanyalah tanah-tanah yang dirizabkan seperti rizab hutan simpan dan juga rizab perhilitan. Semuanya telah diterokai secara haram oleh segelintir penduduk kampung malahan rizab sungaipun habis dibersihkan.

Inilah yang menjadi masalah kepada kepimpinan kampung bagi mencadangkannya sebagai projek tanah kelompok ataupun projek pembesaran kampung yang boleh diagih-agihkan kawasan tanah tersebut secara adil kepada penduduk kampung terutama golongan muda serta yang tidak mempunyai tanah.

Pernah kawasan-kawasan yang dicadangkan sebagai sesuatu projek untuk penduduk kampung seperti tanah kelompok dan Felcra dibatalkan setelah didapati kawasan tanah tersebut sebahagian besarnya telah diterokai. Walaupun ramai penduduk kampung tidak puas hati dan membuat bantahan, namun kawasan tersebut tetap dimenangi oleh yang meneroka walaupun secara haram.

Akibat daripada keadaan tersebut, banyaklah lagi kawasan-kawasan tanah yang diterokai kerana mereka berpendapat inilah satu-satunya peluang untuk memiliki tanah. Kalau memohon di Pejabat Tanah sekalipun belum tentu mendapat kelulusan malahan prosesnya memakan masa puluhan tahun. Oleh itu, inilah cara yang diamalkan, siapa cepat dia dapat.

Walaubagaimanapun, perkara ini tidak menyelesaikan masalah kepada penduduk kampung yang masih tidak memiliki tanah. Hanya yang berani serta berkemampuan sahaja yang boleh meneroka tanah malahan golongan ini tidak pernah cukup dengan tanah yang mereka terokai, kalau boleh hingga ratusan ekar.

Masalah ini berlaku kemungkinan disebabkan oleh longgarnya undang-undang meneroka tanah secara haram. Jarang-jarang sekali kita mendengar orang yang meneroka tanah secara haram didakwa di mahkamah apatah lagi dihukum penjara. Kalau adapun kesudahannya diselesaikan begitu sahaja dan tanah yang diterokai tetap boleh diusahakan.

Sudah sampai masanya, undang-undang yang lebih tegas serta lebih berat dilaksanakan agar orang ramai berasa takut untuk menerokai tanah sesuka hati. Kawasan-kawasan yang diterokai perlu dikosongkan jika tidak akan menghadapi undang-undang yang berat termasuk dihukum penjara. Jangan difikirkan ketidakpuasan hati mereka tetapi perlu difikirkan nasib lebih ramai lagi golongan yang tidak mempunyai tanah serta nasib golongan muda.