Salam Pengenalan
Assalamualaikum...
Peningkatan Kemudahan Di Desa
Posted by Ideadesa | 0 comments | Sunday, August 29, 2010at 12:48 PM |
Di setiap kampung, kemudahan-kemudahan asas telah dipertingkatkan dengan begitu rancak sekali. Kampung-kampung kini telah dilengkapi dengan pelbagai kemudahan termasuk pembinaan masjid, surau, balai raya ataupun dewan orang ramai yang baru. Bagi belia-belia, pembinaan beberapa buah gelanggang futsal telah dapat mempertingkatkan semangat bersukan, yang merupakan aktiviti sukan utama belia-belia pada masa ini.
Pendek kata, tidak ada lagi masalah pembangunan dan kemudahan asas yang perlu diperjuangkan oleh pihak kepimpinan kampung. Jalan-jalan kampung kebanyakannya telah dinaiktaraf, begitu juga jalan-jalan pertanian bagi kemudahan pekebun-pekebun kecil mengeluarkan hasil pertanian.
Pada masa ini juga, beberapa buah pusat jalur lebar komuniti telah diwujudkan di beberapa buah felda dan selepas ini kemungkinan akan diwujudkan pula di kampung-kampung tradisional. Ini akan memberi kemudahan kepada orang ramai terutama kepada pelajar-pelajar sekolah untuk melayari internet tambahan pula baru-baru ini, begitu ramai sekali pelajar-pelajar sekolah yang menerima netbook secara percuma daripada pihak kerajaan.
Yang penting, kita perlu menghargai serta memanfaatkan segala kemudahan yang telah disediakan.
Peningkatan Ekonomi Penduduk Desa
Posted by Ideadesa | 0 comments | Wednesday, March 10, 2010at 3:26 PM |
Sejak harga komoditi getah dan sawit berada di paras tertinggi beberapa tahun ini, perubahan begitu ketara di kalangan pekebun-pekebun kecil getah dan sawit termasuk mereka yang bekerja dengan memajak kebun milik orang lain. Kebanyakannya berpendapatan 4 angka yang sebelum ini memang tidak pernah bermimpi untuk menerima sebegitu lumayan hasilnya. Tidak ada lagi istilah malas terutama kepada penoreh-penoreh getah, tidak kira siang atau malam asalkan getah penuh di mangkuk.
Kebanyakan rumah-rumah telah berubah wajah, tidak ada lagi rumah-rumah papan yang lama, semuanya telah dibina baru setidak-tidaknya di bahagian dapur. Ramai yang telah mampu memiliki kereta termasuk beberapa buah motosikal baru. Pendek kata, apa saja yang diinginkan, mampu dimiliki.
Inilah masanya untuk menabung lebih sedikit demi masa depan terutama mempastikan perbelanjaan mencukupi bagi anak-anak untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat tertinggi. Mana yang telah mampu, bolehlah mendaftar bagi menunaikan Rukun Islam kelima sementara usia masih muda dan bertenaga.
Kita seharusnya bersyukur dengan nikmat yang telah diberikan serta berterima kasih kepada kerajaan yang sentiasa memperjuangkan nasib pekebun-pekebun kecil di samping mempastikan negara ini sentiasa aman dan sejahtera.
Masalah Remaja Desa
Posted by Ideadesa | 0 comments | Sunday, January 31, 2010at 6:46 AM |
Remaja di desa tidak terlepas daripada masalah-masalah sosial seperti menghisap rokok, meminum arak, melepak di tepi-tepi jalan, merempit, pergaulan bebas dan yang paling teruk terlibat dengan penyalahgunaan dadah. Apa-apa sahaja budaya yang tidak sihat daripada luar menjadi ikutan seolah-olah sebagai satu trend remaja masa kini.
Bagi menangani permasalahan ini, semua pihak perlu memainkan peranan terutama ibubapa sendiri yang perlu menunjukkan ketegasan di dalam mendidik anak-anak. Ibubapa tidak boleh lagi membiarkan anak-anak keluar sesuka hati di samping sentiasa memantau pergerakan anak-anak. Ketegasan di dalam perkara ini amat perlu agar anak-anak lebih menghormati ibubapa serta takut untuk melakukan perkara-perkara yang tidak baik.
Kepimpinan di peringkat kampung juga perlu memainkan peranan yang besar serta menjadi agenda utama di dalam membimbing remaja-remaja. Program serta aktiviti berterusan perlu diadakan sesuai dengan kehendak dan minat agar remaja-remaja mendapati diri mereka sentiasa diberikan perhatian serta masa yang terluang dapat diisi sepenuhnya.
Pihak Jawatankuasa Masjid dan Surau perlu mengatur program-program agama yang lebih khusus kepada kumpulan remaja di samping Persatuan Belia sendiri perlu memainkan peranan penting didalam menentukan halatuju remaja-remaja.
Usaha-usaha yang lebih gigih akan menjadikan remaja-remaja bersih daripada kegiatan-kegiatan tidak sihat dan seterusnya akan mewujudkan sebuah masyarakat yang harmoni dan kampung itu sendiri menjadi sebuah kampung yang selamat dan selesa untuk didiami.
Kemiskinan Sifar Di Desa
Posted by Ideadesa | 0 comments | Tuesday, January 12, 2010at 7:08 AM |
Di kampung-kampung, kemiskinan biasanya dikaitkan dengan mereka yang tidak mempunyai harta, tidak mempunyai kebun getah atau sawit yang luas, yang bekerja sebagai penoreh getah pajak dengan pendapatan yang tidak seberapa serta yang bekerja sebagai buruh dengan pendapatan yang kecil.
Selain daripada itu, kemiskinan juga dikaitkan dengan mereka yang mempunyai tanggungan yang ramai terutama yang masih bersekolah, ibu-ibu tunggal yang ditinggalkan tanpa harta dan pencen serta mereka yang sakit terlantar dan orang-orang yang kurang upaya.
Bagi meringankan bebanan golongan ini, kerajaan telah mengadakan beberapa program khususnya Jabatan Kebajikan Masyarakat dengan Projek Carinya serta melalui Pejabat Daerah yang menyenaraikan Peserta E-Kasih yang terdiri daripada golongan miskin tegar, golongan miskin serta golongan mudah miskin di setiap Kawasan Dewan Undangan Negeri.
Wakil-Wakil Rakyat juga di setiap perjumpaan telah menekankan perkara ini kepada semua pemimpin-pemimpin masyarakat agar mengenalpasti golongan ini dan seterusnya membantu mengisi borang-borang permohonan untuk disalurkan kepada pihak yang berkenaan. Seboleh-bolehnya melalui program yang diadakan ini, tidak ada lagi yang terlepas pandang dengan semua yang difikirkan layak mengemukakan permohonan.
Melalui Projek Cari contohnya, ramai daripada golongan miskin, sakit terlantar, warga emas, anak yatim serta orang kurang upaya telah menerima sumbangan wang tunai pada setiap bulan manakala bagi Peserta E-Kasih akan dibuat siasatan mengikut keperluan setiap golongan samada bagi membina rumah PPRT, mengadakan projek-projek ekonomi ataupun lain-lain sumbangan yang difikirkan perlu.
Selain daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Pejabat Daerah, agensi serta jabatan kerajaan yang lain seperti Pusat Zakat, Kemas, Risda dan lain-lain jabatan kerajaan juga banyak membantu bagi meringankan bebanan golongan-golongan ini sehinggakan tidak ada lagi golongan yang langsung tidak diberikan pembelaan. Ini tidak termasuk lagi bantuan-bantuan yang disalurkan kepada pelajar-pelajar miskin dari sekolah rendah, menengah hinggalah kepada pengajian tinggi.
Sebenarnya, usaha-usaha pihak kerajaan bagi membasmi kemiskinan telah wujud sejak tahun 70an lagi dengan pembukaan begitu banyak rancangan tanah Felda dan selepas itu diwujudkan pula rancangan tanah Felcra. Maka, ramailah orang-orang kampung telah berpindah ke Felda bagi memulakan penghidupan baru serta selepas itu, makin ramai pula orang-orang kampung yang berasa agak selesa kerana dipilih sebagai Peserta Felcra.
Pada masa ini, tanah tidak ada yang luas lagi, maka tidak adalah lagi Felda ataupun Felcra. Namun kerajaan akan terus membela golongan-golongan ini dan kita sebagai warga desa, yang sedikit sebanyak mendapat pembelaan haruslah berterima kasih serta mensyukuri nikmat yang telah diberikan.
Perancangan Kampung Melalui Pelan Tindakan Desa
Posted by Ideadesa | 0 comments | Friday, January 1, 2010at 4:00 PM |
Setiap kampung perlu mempunyai pelan tindakan desanya sendiri bagi membolehkan perancangan pembangunan yang lebih lengkap, teratur dan berkesan. Di samping itu, ianya bagi mempastikan halatuju sesebuah kampung ke arah peningkatan yang lebih baik dan seterusnya mewujudkan sebuah kampung yang maju dan berjaya.
Pelan Tindakan Desa merupakan satu perancangan yang dibuat di dalam sesuatu tempoh masa yang pendek, sebagai contoh 3 tahun, yang mengandungi segala program, cadangan serta projek-projek pembangunan bagi sesebuah kampung itu.
Pengisian Pelan Tindakan Desa perlu meliputi maklumat-maklumat asas atau profil kampung yang terdiri daripada sejarah kampung, peta atau pelan lokasi, jumlah kegunaan tanah, agihan pendapatan, kemudahan awam dan infrastruktur, aktiviti kemasyarakatan, aktiviti ekonomi, pencapaian kampung, masalah yang wujud, potensi atau kelebihan kampung serta wawasan dan objektif pembangunan sesebuah kampung itu.
Kepimpinan di sesebuah kampung perlu menggerakkan kampungnya mengikut perancangan yang telah ditetapkan berdasarkan kepada kelemahan atau kekurangan serta kelebihan atau potensi kampung itu sendiri. Setiap kelemahan atau kekurangan perlu ada usaha-usaha ke arah jalan penyelesaiannya manakala setiap potensi atau kelebihan kampung perlu dieksploitasikan terutama di dalam meningkatkan ekonomi penduduk-penduduk kampung.
Dengan adanya perancangan yang kemas dan teratur, setiap kampung akan mempunyai wawasannya sendiri ke arah mewujudkan sebuah kampung yang lebih baik, maju dan berjaya sesuai dengan slogannya "Komuniti Berdaya Desa Berjaya".
Konflik Kepimpinan Di Desa
Posted by Ideadesa | 0 comments | Monday, December 21, 2009at 8:26 AM |
Baru-baru ini, semua ketua-ketua kampung telah tamat tempoh perkhidmatannya dan perlu dicalonkan semula untuk penggal yang akan datang. Ada sesetengah ketua kampung tidak ada masalah yang besar, asalkan boleh buat kerja, masyarakat kampung akan menerimanya walaupun umur telah lanjut. Ada sesetengah yang lain pula terpaksa menempuh berbagai-bagai halangan serta rintangan untuk dicalonkan semula.
Terdapat juga beberapa buah kampung begitu sukar untuk memilih ketua kerana mempunyai ramai calon yang berpotensi. Masing-masing melobi kepada pihak yang berkuasa agar dipilih hinggakan terdapat ura-ura bagi mengadakan pilihanraya bagi memilih ketua di sesuatu kampung.
Pilihan yang terbaik yang dilaksanakan sebelum ini ialah dengan melantik calon yang popular serta secara majoriti disukai oleh penduduk kampung. Pemilihan secara pilihanraya, walaupun dianggap demokrasi tetapi boleh memecahbelahkan masyarakat kampung terutama sewaktu menjalankan kempen masing-masing.
Sebenarnya, masalah ini timbul apabila ramai yang berebut-rebut mahu menjadi ketua. Apabila merasakan mereka layak dipilih, mulalah mengecil-gecilkan kebolehan calon lain sehingga hangat diperbincangkan. Riuh rendah di kampung gara-gara memilih ketua kampung ini.
Konflik ini tidak boleh dibiarkan berterusan kerana ianya akan melemahkan kampung itu sendiri. Sepatutnya, sesiapa jua yang telah dilantik oleh pihak berkuasa berdasarkan kriteria tertentu, masyarakat kampung perlu menerimanya tanpa pertikaian lagi.
Kehidupan di kampung, yang masyarakatnya hidup dengan aman damai, bersatu padu serta saling bermuafakat di antara satu sama lain perlu diteruskan kerana ianya telah menjadi budaya kita sejak sekian lama. Tanggungjawab memelihara dan memajukan kampung bukan terletak di tangan ketua sahaja tetapi kita semua sebagai sebuah masyarakat kampung.
Program Bumi Hijau Di Desa
Posted by Ideadesa | 0 comments | Sunday, December 20, 2009at 1:34 PM |
Baru-baru ini, pihak Jabatan Pertanian telah menganjurkan Kursus Bumi Hijau di beberapa buah kampung di sini. Tujuannya adalah untuk menggalakkan penduduk kampung mengusahakan semula tanaman sayur-sayuran sebagaimana orang-orang tua dahulu yang rajin bercucuk-tanam di sekeliling rumah. Peserta yang hadir telah diberikan penerangan secukupnya serta telah didaftarkan untuk menerima sedikit sumbangan berupa benih dan baja sebagai modal permulaan.
Konsep yang diperkenalkan adalah menanam sayur-sayuran di dalam polibag yang tidak memerlukan kawasan yang luas serta modal yang besar. Hanya susun sahaja polibag yang berisi tanah berbaja di tepi-tepi rumah walaupun kawasan yang ada telah disimen atau telah diturap tar. Setelah siap disusun, barulah kita semai benih-benih sayuran yang kita mahukan.
Semenjak program ini diperkenalkan, ramailah penduduk-penduduk kampung ingin mencuba apatah lagi bila melihat jiran-jiran sebelah rumah telah dapat menikmati hasilnya. Masing-masing mengikut kemampuan, setidak-tidaknya lepas untuk makan sendiri.
Pada masa ini, keadaan landskap kawasan rumah juga telah banyak berubah. Penduduk kampung telah menyambut baik program ini sehinggakan di setiap penjuru kawasan rumah telah dipenuhi dengan polibag-polibag yang menghijau dengan hasil-hasil tanaman.
Dalam keadaan ekonomi sekarang, inilah masa untuk kita memulakanya, kalau tidak mampu, usahakan sedikit-sedikit sahaja, jadi tidak semualah kena beli di pasar. Masa lapang di sebelah petang juga akan dapat diisi dengan perkara-perkara yang mendatangkan faedah, tidaklah duduk-duduk sahaja ataupun pusing-pusing kampung ke hulu ke hilir.
Subscribe to:
Posts (Atom)