Selamat datang ke desaku.
Something you might want to know about us.
Don't be hesitated to contact us if you have something to say.

Salam Pengenalan

Assalamualaikum...

Salam pengenalan dan selamat bertemu. Baru di kesempatan ini saya dapat bersama-sama mengambil bahagian untuk dikongsi bersama. Saya ni orang kampung, jadi kisah dan cerita saya lebih tertumpu di kawasan kampung terutama di kawasan Kuala Krau, Pahang. Banyak yang boleh diceritakan terutama soal-soal pembangunan, peluang ekonomi, masalah-masalah, isu-isu semasa serta perancangan dan potensi kampung. Semua kampung ingin maju dan berjaya, penduduknya dapat meningkatkan pendapatan ekonomi, keadaannya aman dan sejahtera, persekitarannya bersih, ceria dan indah serta udaranya bersih dan nyaman. Inilah yang dinamakan sebagai Desa Impian ataupun Desa Wawasan.

Program Sukaneka

| 0 comments | Tuesday, November 19, 2013
|

Di antara program yang dapat menarik perhatian khususnya golongan muda di kampung-kampung adalah mengadakan Program Sukaneka ataupun Sukan Rakyat. Bukan sahaja golongan muda, golongan dewasa baik lelaki ataupun wanita tidak melepaskan peluang untuk bersama-sama menyertainya.

Oleh sebab itu, program ini saban tahun dirancang di setiap kampung yang juga merupakan antara program yang paling meriah yang diadakan sepanjang tahun. Di samping dapat mengeratkan lagi hubungan sirratulrahim di antara penduduk kampung, ianya juga dapat menerapkan semangat bersukan terutama kepada golongan muda.

Bagi Wakil Rakyat kawasan, peruntukan perlu disediakan bagi menampung perbelanjaan program tersebut terutama bagi hadiah dan cenderahatinya. Selain itu, ianya merupakan peluang kepada Wakil Rakyat dan pemimpin setempat untuk bersama-sama dengan setiap golongan masyarakat di sesebuah kampung itu dan peluang ini boleh digunakan untuk lebih beramah mesra di samping dapat menyampaikan sesuatu mesej di majlis tersebut.




Meningkatkan Sokongan

| 0 comments | Sunday, November 17, 2013
|

Walaupun berbagai-bagai bantuan yang disalurkan kepada rakyat, Wakil Rakyat tidak boleh menganggap sokongan kepada BN akan terus meningkat dan berasa selesa dengan keadaan tersebut. Segala jenis bantuan yang diberikan kepada rakyat tidak boleh menjamin sokongan sepenuhnya kepada BN kerana pemberian tersebut adalah secara individu, lagipun tidak semua berjaya menerimanya.

Perkara yang paling utama ialah menyelesaikan permasalahan secara umum di mana kemudahan-kemudahan awam masih belum sempurna dan memerlukan peruntukan yang agak besar bagi menaiktarafkannya. Jalan-jalan kampung serta jalan-jalan ladang yang rosak sering menjadikan penduduk tidak puas hati dengan pihak kerajaan. Begitu juga dengan masalah bekalan air dan elektrik yang tidak sepenuhnya memberi keselesaan kepada rakyat.

Program turun padang serta beramah mesra dengan rakyat antara yang dapat menambat hati rakyat yang mana mereka sentiasa merasakan pemimpin dekat di hati mereka. Dengan kekerapan mengatur majlis untuk bersama orang ramai, di samping menyelesaikan masalah terutama isu pembangunan, sokongan kepada pihak kerajaan akan dapat terus dikekalkan.



Mengharapkan Bantuan

| 0 comments |
|

Bagi meringankan bebanan yang dihadapi oleh rakyat, kerajaan telah menyediakan berbagai-bagai bantuan. Golongan yang miskin, warga emas, oku, pesakit kronik serta ibu-ibu tunggal sangat-sangat mengharapkan bantuan tersebut. Adalah menjadi tugas kepada pemimpin-pemimpin masyarakat di setiap kawasan untuk mempastikan bantuan tersebut dapat dihulurkan kepada mereka yang benar-benar layak.

Apa yang menjadi masalah, apabila terlalu banyak bantuan yang disediakan, menjadikan rakyat malas berusaha kerana mereka sering menganggap bantuan akan sentiasa disediakan. Pelbagai bantuan yang disediakan daripada bantuan sarahidup hinggalah kepada yang lebih kecil seperti bantuan cermin mata dan sebagainya akan menjadikan rakyat sentiasa mengharapkan segala bantuan dan merasakan tidak perlu lagi berdikari.

Perkara tersebut kini sentiasa diberikan keutamaan kerana jumlah pemohonnya juga semakin meningkat dan mereka akan mudah kecewa apabila permohonan mereka ditolak. Jabatan serta agensi yang berkaitan dan yang utamanya Wakil Rakyat menjadi sasaran sekiranya sesuatu permohonan itu tidak dapat dipenuhi kerana tidak menepati syarat-syarat yang ditetapkan.

Oleh itu, pihak kerajaan perlu melakukan kajian bagi mencari kaedah yang lebih sesuai bagi membantu golongan tersebut dan bagi mengelakkan agar tidak dikenali sebagai rakyat yang hanya mengharapkan bantuan semata-mata. Mungkin melalui pemberian saham Felcra dan saham ladang rakyat yang dilaksanakan sebelum ini telah banyak membantu meringankan bebanan yang dihadapi.






Program Turun Padang

| 0 comments | Thursday, November 14, 2013
|

Sudah hampir 7 bulan sejak PRU ke 13, program turun padang oleh pemimpin khususnya Wakil Rakyat setempat sangat jarang dilaksanakan di kampung-kampung. Kemungkinan kerana merasakan belum sampai masanya ataupun menunggu peruntukan yang mengcukupi untuk melaksanakannya di setiap kawasan dan kampung.

Pada musim pemilihan UMNO baru-baru ini, memang rancak sekali semua pemimpin keluar masuk kampung untuk berjumpa dengan Ketua Cawangan serta perwakilan tetapi itu hanya untuk meraih sokongan bagi jawatan-jawatan yang ditandingi.

Seharusnya selepas ini, program-program lebih kerap diatur bagi merapatkan hubungan Wakil Rakyat dengan penduduk di setiap kawasan dan kampung sebagaimana yang diamalkan sebelum ini. Pendekatan ini sangat berkesan bagi memberi keyakinan kepada rakyat bahawa mereka sentiasa diberikan perhatian oleh pihak kerajaan.





Projek Perumahan Kos Rendah

| 0 comments | Sunday, November 3, 2013
|

Perumahan Awam Kos Rendah atau singkatannya PAKR perlu diwujudkan di kawasan Kuala Krau bagi memberi peluang kepada golongan yang berpendapatan rendah untuk memiliki sebuah rumah. Sebelum ini telah diwujudkan perumahan tersebut di Taman Sri Desa Kuala Krau yang telah memberi peluang kepada 187 buah keluarga untuk memiliki rumah.

Walaupun telah diwujudkan beberapa buah kawasan perumahan di sekitar Kuala Krau tetapi jumlah rumah kos rendah agak terhad kerana pihak pemaju lebih berminat untuk membina rumah kos sederhana dan mewah yang harganya mencecah ratusan ribu ringgit. Bagi golongan berpendapatan rendah, hanya melihat sahaja perumahan yang wujud di kawasan idaman tetapi tidak mampu membelinya.

Bagi menangani masalah ini, pihak kerajaan negeri perlu memikirkan keperluan memiliki rumah untuk golongan berpendapatan rendah ini. Walaupun terdapat peluang-peluang lain seperti Rumah Mesra Rakyat ataupun PR1MA, PAKR sebagaimana yang telah diwujudkan sebelum ini, lebih memberi peluang kepada golongan yang kurang berkemampuan serta tidak memiliki tanah untuk memiliki sebuah rumah.

Nikmat negara makmur

| 0 comments | Tuesday, October 29, 2013
|

Negara ini yang selama ini kita sama-sama merasai nikmat keamanannya seharusnya dikekalkan sampai bila-bila. Seharusnya kita mengsyukuri suasana aman makmur yang kita kecapi membolehkan kita hidup dengan sejahtera tanpa perlu berasa bimbang sebagaimana di setengah-setengah negara.

Terdapat golongan tertentu tidak dapat menerima hakikat yang selama ini kita hidup dengan aman damai, walaupun dengan berbilang kaum. Mereka ini secara terburu-buru ingin melakukan perubahan, yang sebenarnya boleh merosakkan kemakmuran yang sedia ada.

Sebagai sebuah negara yang mengamalkan sistem demokrasi, ianya banyak membantu mengekalkan negara ini terus aman makmur.

| 0 comments | Friday, August 30, 2013
|

Sempena hari merdeka ini, kita sebagai penduduk kampung tidak boleh terlepas daripada menyambutnya. Seharusnya sebagai rakyat Malaysia, kita harus berperanan memeriahkan sambutan bulan kemerdekaan negara dengan semangat yang tinggi dan berkobar-kobar.

Semangat cintakan negara perlu ada di dalam diri kita bahawa kemerdekaan memberikan kita kebebasan daripada belenggu penjajahan yang membolehkan kita bebas mentadbir negara kita mengikut kehendak serta acuan kita sendiri.

Sebagai rakyat Malaysia, walaupun kita tinggal di kampung-kampung, kita seharusnya menghargai nikmat yang telah dikecapi selama ini. Kita seharusnya berbangga menjadi rakyat Malaysia dan amat menghargai kemerdekaan negara ini.

Bagi membuktikannya, marilah kita sama-sama mengibarkan Jalur Gemilang di rumah-rumah kita kerana Jalur Gemilang bukan sekadar bendera yang berwarna-warni tetapi ianya sebagai lambang kedaulatan negara.