Selamat datang ke desaku.
Something you might want to know about us.
Don't be hesitated to contact us if you have something to say.

Salam Pengenalan

Assalamualaikum...

Salam pengenalan dan selamat bertemu. Baru di kesempatan ini saya dapat bersama-sama mengambil bahagian untuk dikongsi bersama. Saya ni orang kampung, jadi kisah dan cerita saya lebih tertumpu di kawasan kampung terutama di kawasan Kuala Krau, Pahang. Banyak yang boleh diceritakan terutama soal-soal pembangunan, peluang ekonomi, masalah-masalah, isu-isu semasa serta perancangan dan potensi kampung. Semua kampung ingin maju dan berjaya, penduduknya dapat meningkatkan pendapatan ekonomi, keadaannya aman dan sejahtera, persekitarannya bersih, ceria dan indah serta udaranya bersih dan nyaman. Inilah yang dinamakan sebagai Desa Impian ataupun Desa Wawasan.

Hidup Bermuafakat

| 5 comments | Tuesday, September 30, 2014
|

Bagi sesebuah masyarakat, kemajuan dan kemakmuran yang dicapai adalah berpaksikan kepada permuafakatan. Dengan permuafakatan yang wujud, akan melahirkan perpaduan dan kesejahteraan hidup. Tanpa sikap tolak ansur dan berkerjasama di antara satu sama lain, akan mewujudkan masyarakat yang hanya mementingkan diri sendiri di samping akan berbalah sesama sendiri.

Pesanan nenek moyang kita masih segar di dalam ingatan seperti muafakat membawa berkat, bulat air kerana pembetung, bulat kata kerana muafakat dan bersatu kita teguh, bercerai kita roboh. Selain itu, pepatah seperti berat sama dipikul, ringan sama dijinjing dan hati gajah sama dilapah, hati kuman sama dicicah, bagi menggambarkan betapa pentingnya hidup bermuafakat di dalam sesebuah masyarakat.

Di dalam hidup bermasyarakat ini juga, kita perlu mewujudkan masyarakat yang sentiasa mengambil berat di antara satu sama lain tanpa memikirkan ideologi ataupun fahaman politik masing-masing. Dengan mengutamakan hal-hal kemasyarakatan serta semangat kejiranan yang tinggi, akan melahirkan sebuah masyarakat yang berjaya dan diberkati.

Projek Menaik Aras Jalan

| 0 comments | Saturday, September 27, 2014
|

Projek menaik aras jalan di km 1, Jalan Paya Luas Kuala Krau telah hampir 70% siap walaupun sebelum ini mengambil masa yang agak panjang untuk melaksanakannya. Sebagai kawasan yang paling rendah dan yang mula-mula akan dinaiki air, projek tersebut sangat-sangat dinantikan bagi mengelakkan terputusnya hubungan menjelang musim tengkujuh ini.

Sebenarnya, di antara km 1 hingga km 4, keadaan jalannya terletak di kawasan rendah, tambahan berhampiran Sungai Krau menyebabkan 4 dan 5 tempat akan dinaiki air di musim tengkujuh. Walaupun projek di km 1 telah dilaksanakan tetapi apabila musim banjir, penduduk di kawasan kampung tersebut tetap akan terputus hubungan.

Walaupun projek tersebut menelan kos yang tinggi, penduduk mengharapkan beberapa kawasan yang rendah di jalan tersebut turut dinaik aras secara berperingkat-peringkat. Sebagai jalan utama ke Pekan Kuala Krau yang melibatkan lebih 3000 orang penduduk, projek tersebut diharapkan dapat menyelesaikan masalah sekiranya keadaan air di musim tengkujuh nanti tidak terlalu besar.


Masalah Kecurian Kabel Telefon

| 0 comments | Wednesday, September 24, 2014
|

Di kawasan kampung terutama yang terletak di pendalaman, masalah kecurian kabel telefon begitu menjadi-jadi. Penduduk kampung yang sebelum ini hampir setiap rumah menggunakan telefon talian tetap tidak lagi dapat menggunakan kemudahan tersebut. Bermacam-macam tindakan telah diambil bagi membendung masalah tersebut termasuk menawarkan ganjaran kepada yang berjaya menangkap pencuri yang terlibat, tetapi kejadian tersebut masih terus berlaku.

Masalah yang berlaku banyak dikaitkan dengan penagih-penagih dadah yang sentiasa mencari-cari peluang untuk mendapatkan wang yang mudah. Walaupun pada peringkat awalnya, pihak TM akan berusaha menggantikan kabel-kabel yang dicuri, lama-kelamaan apabila kejadian terus berlaku, tiada lagi sebarang tindakan daripada pihak TM.

Pengguna-pengguna di kampung yang menjadi mangsa kerana terpaksa membayar bil telefon sedangkan perkhidmatannya tidak dapat digunakan. Ada sesetengah kes, surat melalui peguam dihantar kepada pengguna bagi menuntut bayaran. Setelah tidak tahan membayar bil yang tiada perkhidmatan, terpaksalah menamatkan perkhidmatan tersebut.

Walaupun adanya telefon bimbit, sesetengah golongan warga emas begitu sukar sekali untuk memahirkan diri menggunakannya malah di sesetengah kawasan di kampung juga langsung tidak ada sebarang liputan  telefon bimbit.

Pihak TM perlu mengkaji sedalam-dalamnya masalah ini, termasuk juga memasang kabel-kabel dalam tanah serta lain-lain kaedah yang lebih selamat daripada menjadi mangsa kecurian. Bagi sesetengah penduduk, walaupun ada telefon bimbit tetapi tetap merasakan telefon talian tetap satu keperluan.