Selamat datang ke desaku.
Something you might want to know about us.
Don't be hesitated to contact us if you have something to say.

Salam Pengenalan

Assalamualaikum...

Salam pengenalan dan selamat bertemu. Baru di kesempatan ini saya dapat bersama-sama mengambil bahagian untuk dikongsi bersama. Saya ni orang kampung, jadi kisah dan cerita saya lebih tertumpu di kawasan kampung terutama di kawasan Kuala Krau, Pahang. Banyak yang boleh diceritakan terutama soal-soal pembangunan, peluang ekonomi, masalah-masalah, isu-isu semasa serta perancangan dan potensi kampung. Semua kampung ingin maju dan berjaya, penduduknya dapat meningkatkan pendapatan ekonomi, keadaannya aman dan sejahtera, persekitarannya bersih, ceria dan indah serta udaranya bersih dan nyaman. Inilah yang dinamakan sebagai Desa Impian ataupun Desa Wawasan.

Ekonomi Belia Di Kampung

| 1 comments | Tuesday, July 29, 2014
|

Pertubuhan ataupun persatuan belia di kampung-kampung perlu mengadakan aktiviti-aktiviti seperti kursus dan program yang menjurus kepada minat belia di mana sesebuah persatuan itu diwujudkan. Pemimpinnya mesti faham kehendak dan arah tuju belia yang dipimpinnya samada beroleh kejayaan ataupun sebaliknya.

Kecenderungan belia di kampung-kampung lebih kepada bidang pertanian, penternakan dan keusahawanan. Bidang ini jika diusahakan dengan bersungguh-sungguh akan memberikan pulangan yang baik dan akan menjamin kehidupan di kampung. Oleh itu, persatuan belia di kampung perlu mengadakan aktiviti seperti kursus penternakan lembu dan kambing, ayam kampung, ikan air tawar, ikan sangkar dan sebagainya.

Pendedahan kepada bidang perniagaan kecil-kecilan seperti terbabit dalam perniagaan runcit, usahawan tani, peniaga pasar malam dan pasar tani perlu diwujudkan. Melalui perancangan yang baik, belia-belia di kampung akan dapat meningkatkan lagi ekonomi serta kesejahteraan hidup pada masa depan.

Ekonomi Penduduk Kampung

| 0 comments | Wednesday, July 16, 2014
|

Bagi sesebuah kampung terutama di kawasan pendalaman, asas ekonomi adalah bergantung kepada aktiviti pertanian, penternakan dan perikanan serta berasaskan perdagangan termasuk aktiviti perniagaan, industri kampung dan perkhidmatan.

Hampir 90% penduduk kampung menceburi sektor pertanian seperti tanaman kelapa sawit, getah dan kelapa di samping tanaman jangka pendek seperti pisang, tebu dan sayur-sayuran. Tanaman ini telah diusahakan samada secara persendirian ataupun secara berkelompok dan usaha-usaha inilah yang telah membantu meningkatkan ekonomi penduduk.

Penternakan juga tidak ketinggalan menjadi pilihan penduduk kampung untuk meningkatkan ekonomi mereka seperti penternakan lembu, kerbau, kambing dan ayam itik serta penternakan ikan air tawar. Sektor ini menjadi pilihan pada masa ini kerana sentiasa mendapat permintaan yang tinggi serta mudah untuk dipasarkan.

Bagi meningkatkan lagi pengeluaran, seharusnya pihak Jabatan Veterinar serta Jabatan Pertanian dapat memperluaskan peruntukan serta khidmat nasihat agar penduduk kampung dapat sepenuhnya bergantung kepada hasil pertanian dan penternakan.

Keselamatan Kampung

| 0 comments | Friday, July 11, 2014
|

Setiap JKKK perlu meningkatkan tahap keselamatan penduduk di kawasan masing-masing bagi mengelakkan kejadian yang tidak diingini berlaku. Keadaan sekarang sudah jauh berbeza ditambah pula dengan wujudnya penagih-penagih dadah, pendatang tanpa izin dan sebagainya dan ini menyebabkan berlaku kecurian kepada hasil-hasil pertanian seperti getah dan sawit, kecurian binatang ternakan dan yang paling membimbangkan adalah kes samun dan pecah rumah.

Sebelum ini , masalah tersebut amat kurang berlaku dan ini menyebabkan kebanyakan JKKK terlupa atau kurang memberi perhatian kepada meningkatkan tahap keselamatan kerana JKKK lebih menumpukan kepada pembangunan dan kemajuan kawasan pentadbiran masing-masing.

Sebagai mata dan telinga kerajaan, JKKK perlu melaporkan kepada pihak berkuasa berhubung kegiatan penyalahgunaan dadah, kemasukan pendatang tanpa izin dan sebagainya yang boleh mengancam keselamatan kampung dan juga negara.

Bagi menggerakkannya, JKKK perlu mendapatkan sokongan daripada masyarakat kampung di samping mempunyai jentera sendiri yang dapat menjalinkan kerjasama dengan agensi keselamatan termasuk pihak Polis, Rukun Tetangga dan juga Rela bagi memastikan tahap keselamatan di kampung sentiasa terkawal.