Selamat datang ke desaku.
Something you might want to know about us.
Don't be hesitated to contact us if you have something to say.

Salam Pengenalan

Assalamualaikum...

Salam pengenalan dan selamat bertemu. Baru di kesempatan ini saya dapat bersama-sama mengambil bahagian untuk dikongsi bersama. Saya ni orang kampung, jadi kisah dan cerita saya lebih tertumpu di kawasan kampung terutama di kawasan Kuala Krau, Pahang. Banyak yang boleh diceritakan terutama soal-soal pembangunan, peluang ekonomi, masalah-masalah, isu-isu semasa serta perancangan dan potensi kampung. Semua kampung ingin maju dan berjaya, penduduknya dapat meningkatkan pendapatan ekonomi, keadaannya aman dan sejahtera, persekitarannya bersih, ceria dan indah serta udaranya bersih dan nyaman. Inilah yang dinamakan sebagai Desa Impian ataupun Desa Wawasan.

| 0 comments | Friday, December 28, 2012
|

Bagi kepimpinan di kampung, peruntukan daripada Wakil Rakyat sentiasa ditagih bagi menyelesaikan beberapa masalah. Daripada peralatan dan kelengkapan pentadbiran hinggalah kepada keperluan yang lebih besar seperti membaiki kerosakan bangunan awam, surau, masjid dan juga jalan-jalan pertanian. Selain daripada itu, peruntukan juga diperlukan bagi melengkapkan keperluan terutama peralatan untuk kenduri-kendara dan sebagainya.

Tidak terkecuali juga, ngo-ngo seperti persatuan belia, kumpulan wanita dan sebagainya yang juga mengharapkan peruntukan Wakil Rakyat bagi mendapatkan bantuan serta keperluan masing-masing. Walaupun peruntukan yang diberikan agak kecil tetapi adakalanya sudah memadai sebagai tanda Wakil Rakyat memberi perhatian kepada mereka.

Kesukaran mendapatkan peruntukan kerapkali menjadi rungutan terutama di kalangan ngo-ngo. Mereka merasa kecil hati kerana permohonan mereka tidak diberi perhatian sedangkan selama ini merekalah merupakan penyokong kuat pihak kerajaan. Keadaan ini boleh menyebabkan terhakisnya sokongan mereka terutama menjelang PRU nanti.

Bagi menghadapi keadaan ini, peruntukan kepada Wakil Rakyat perlu ditambah terutama di penghujung tahun ini. Perhatian perlu diberikan kepada semua pihak terhadap apa jua permohonan yang diajukan bahkan bagi golongan muda, peruntukan peralatan sukan boleh sahaja terus diberikan tanpa perlu memohon.

| 0 comments | Thursday, December 20, 2012
|

Masalah kelulusan permohonan tanah seringkali menjadi perbualan di kalangan penduduk kampung. Terdapat pemohon-pemohon yang telah memohon begitu lama hingga belasan tahun tetapi masih belum mendapat apa-apa keputusan. Bagi yang telah mengusahakan tanah tersebut, mungkin tiada masalah tetapi bagi yang tidak, dikhuatiri pula tanah yang dipohon akan diterokai oleh orang lain.

Bagi menyelesaikan masalah ini, Wakil Rakyat Kawasan perlu diberi kuasa penuh untuk membuat kelulusan sesuatu permohonan. Terdapat beberapa kes permohonan telah ditolak oleh Pejabat Tanah tetapi apabila dirujuk, Wakil Rakyat sendiripun tidak tahu menahu di dalam proses membuat keputusan tersebut. Kemungkinan, terdapat pihak-pihak lain yang juga berkuasa untuk membuat sesuatu kelulusan.

Akibat daripada keadaan ini, pemohon hanya menyalahkan Wakil Rakyat Kawasan kerana tidak memberikan kelulusan terhadap permohonan mereka. Mereka menjadi kecewa kerana selama ini mereka merupakan penyokong kuat pihak kerajaan tetapi tidak mendapat balasan apa-apa.

Pihak Kerajaan Negeri perlu mengkaji sepenuhnya perkara tersebut kerana isu ini merupakan isu besar yang sering diperkatakan terutama menjelang Pilihan Raya Umum. Sekiranya tidak ditangani segera, dikhuatiri sokongan terhadap pihak kerajaan akan terjejas.





| 0 comments | Wednesday, December 12, 2012
|

Sebagai sebuah pekan yang kecil, Kuala Krau telah membangun dengan agak pesat sejak akhir-akhir ini terutama sejak terdirinya Jambatan Kuala Krau. Banyak bangunan-bangunan baharu telah didirikan begitu juga dengan taman-taman perumahan yang diwujudkan bagi menampung keperluan penduduk yang semakin bertambah.

Walaubagaimanapun, masih terdapat beberapa kemudahan yang perlu dilaksanakan untuk kemudahan penduduk seperti mewujudkan Balai Bomba serta Dewan Orang Ramai yang lebih besar dan selesa. Begitu juga dengan pintu masuk dari Temerloh dan Jerantut perlu dibuat papan tanda yang lebih besar dan cantik bagi menggambarkan kemajuan pesat pekan tersebut.

Lampu isyarat di Simpang Paya Luas yang selama ini menjadi sebutan orang ramai akibat daripada beberapa kemalangan maut telah mula dilaksanakan kerja-kerja pemasangannya. Kemudahan ini nanti akan lebih menjamin keselamatan orang ramai untuk melalui kawasan tersebut. Cuma yang perlu dilaksanakan selepas ini ialah menaiktaraf jalan masuk di dalam pekan tersebut dengan mewujudkan jalan sehala bagi mengelakkan kesesakan.

Sejak hampir 10 tahun Parlimen Kuala Krau diwujudkan, usaha-usaha telah dilakukan bagi mewujudkan pula sebuah daerah yang baharu di sini. Sekiranya berjaya, wajah pekan Kuala Krau akan berubah menjadi sebuah bandar yang sibuk dan lebih pesat membangun.